Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penjawat awam Kelantan terima insentif RM500 tahun hadapan


Tarikh kemaskini: 16/10/2019





KOTA BHARU, 16 Okt  -- Penjawat awam Kelantan akan menerima insentif sebanyak RM500, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Beliau membuat pengumuman itu ketika menggulung perbahasan berkaitan Belanjawan Kelantan 2020 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

"Kerajaan (negeri) bersetuju untuk memberi insentif sebanyak RM500 kepada penjawat awam di Kelantan," katanya.

Difahamkan, insentif tersebut akan dibayar pada awal tahun hadapan.

Dalam penggulungan itu juga, Ahmad turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas Datuk Md Alwi Che Ahmad yang meletakkan jawatan sebagai ketua pembangkang semalam.

"Saya berterima kasih kepada Kok Lanas kerana telah pun mengisytiharkan tiada ketua pembangkang dalam dewan ini. Saya berasa lega dan saya berdoa kepada Allah SWT semoga dapat menjadikan dewan ini dewan yang terbaik untuk kita sama-sama berbincang untuk mengatasi masalah-masalah rakyat.

"Bagaimanapun yang tersiratnya Kok Lanas masih sebagai pembangkang namun mesra kerajaan dan kita masih memerlukan teguran daripada ahli dewan jika mereka melihat sebarang kekurangan (dalam pentadbiran kerajaan negeri)," katanya.

Semalam, Md Alwi meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang DUN Kelantan hasil keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Biro Politik UMNO dan Muafakat Nasional yang terjalin antara UMNO dan PAS pada September lepas.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel