Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan PH salur Wang Ihsan, wang pendahuluan bantu Kelantan


Tarikh kemaskini: 16/10/2019





KUALA LUMPUR, 16 Okt  -- Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan separuh Wang Ihsan terus kepada Kerajaan Kelantan, malah membantu memberikan wang pendahuluan termasuk untuk membayar gaji angggota kerajaan negeri pembangkang itu walaupun berhadapan pelbagai cemuhan dan fitnah.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah memutuskan untuk membuat bayaran 50 peratus Wang Ihsan bukan kepada entiti Kerajaan Persekutuan, tetapi terus kepada Kerajaan Kelantan.

Sebelum ini, pembayaran Wang Ihsan diberikan secara tahunan kepada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan sebuah entiti Kerajaan Persekutuan secara 50:50.

"Saya ingin menegaskan bahawa bayaran Wang Ihsan dan perkara perihal petroleum dan Petronas bukanlah di bawah bidang kuasa saya, dan saya hanya menurut arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

"Saya berasa kecewa dengan pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba menimbulkan kebencian dengan melontarkan fitnah bahawa saya cuba menghalang pembayaran, pada hakikatnya pembayaran hanya boleh dibuat atas arahan Perdana Menteri sahaja," katanya.

Menurut kenyataan tersebut, beliau sukar memahami bagaimana Kerajaan Negeri Kelantan hari ini menganggap pihak sebelum ini (Kerajaan Barisan Nasional) yang tidak menyalurkan bayaran Wang Ihsan kepada Kerajaan Negeri tersebut sebagai rakan setia, bahkan menganggap Kerajaan Persekutuan hari ini yang menyalurkan bayaran Wang Ihsan secara langsung kepada negeri itu sebagai musuh ketat. 

Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa komitmen untuk membantu Kerajaan Negeri Kelantan telah dilaksanakan sungguhpun berhadapan pelbagai cemuhan dan fitnah, dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, telah pun mengesahkan bayaran Wang Ihsan sebanyak RM15.75 juta disalurkan kepada kerajaaan negeri itu pada 18 Sept yang lalu, katanya. 

Kerajaan Persekutuan telah membuat bayaran dalam bentuk Wang Ihsan kepada Kerajaan Negeri Kelantan supaya mengelakkan negeri pantai timur itu terperangkap dalam kemelut perundangan, namun perkiraannya adalah berasaskan lima peratus daripada hasil petroleum bagi menentukan bayaran tersebut kepada kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan telah menerima surat bertarikh 12 Sept daripada Pegawai Kewangan Negeri Kelantan sekali lagi memohon bantuan Kerajaan Persekutuan dalam bentuk wang pendahuluan, bagi memenuhi obligasi perbelanjaan operasinya termasuk membayar gaji dan emolumen anggota pentadbiran kerajaan negeri.

"Saya telah meluluskan permohonan pendahuluan sebanyak RM100 juta pada 14 Okt yang lalu, untuk membantu Kerajaan Negeri Kelantan membiayai perbelanjaannya termasuk pembayaran gaji anggota pentadbirannya sehingga hujung tahun 2019. 

Tambah Lim ia bukan kali pertama Kerajaan Kelantan membuat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan yang baharu untuk wang pendahuluan termasuk bagi membantu membayar gaji warga perkhidmatan Kerajaan Negeri. 

Pada tahun 2018, permohonan wang pendahuluan sebanyak RM91.5 juta untuk membayar perbelanjaan operasinya termasuk gaji anggota Kerajaan Negeri Kelantan juga telah diluluskan.

Lim berharap dengan adanya Wang Ihsan dan wang pendahuluan tersebut dapat membantu Kerajaan  Kelantan mengukuhkan kedudukan kewangan negeri dan seterusnya meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat negeri itu.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel