Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pupuk perpaduan melalui penganjuran karnival sukan kombat


Tarikh kemaskini: 16/10/2019





IPOH, 16 Okt  -- Kerajaan Perak akan menganjurkan Karnival Sukan Kombat peringkat negeri yang menggabungkan empat sukan tempur iaitu silat, silambam, Muay Thai dan wushu bagi membentuk dan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata karnival julung kali diadakan anjuran Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri itu akan berlangsung di AEON Big Falim, di sini, selama dua hari bermula Sabtu ini. 

Katanya, penganjuran empat sukan ini dalam satu karnival adalah bagi mempamerkan satu budaya yang dikongsi bersama masyarakat seluruh dunia merentasi sempadan geografi dan wilayah.

"Karnival ini juga akan membuka peluang untuk atlet daripada pelbagai latar belakang yang berbeza untuk dipertemukan dan bergaul bersama sekali gus memberikan peluang untuk mereka memahami budaya dan cara hidup masing-masing.  

"Sukan kombat atau tempur ini mempunyai potensi untuk menjadi pemecah kepada tradisi dominasi oleh sesuatu keturunan terutama dengan penampilan kemajmukan bukan hanya dari segi penyertaan tapi lebih daripada itu, menghargai perpaduan yang kita kecapi pada hari ini,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Lee berkata dalam membangunkan prestasi sukan kombat, beliau yakin karnival ini dapat mempamerkan usaha memupuk penerimaan ke atas pelbagai sukan yang wujud daripada masyarakat pelbagai kaum.

Selain itu, beliau berkata penganjuran karnival ini bertujuan memberi pendedahan kepada atlet sukan berkenaan untuk mengembangkan potensi olahraga ini di peringkat negeri dan kebangsaan.

"Seramai hampir 1,000 atlet dijangka menyertai karnival ini yang melibatkan Persatuan Silat Kebangsaan Perak, Persatuan Silambam Malaysia Negeri Perak, Persatuan Muay Thai Perak dan Persekutuan Wushu.

"Semua acara sukan kombat ini akan dijalankan mengikut peraturan dan undang-undang Persatuan Sukan Antarabangsa masing-masing,” katanya menambah sebanyak 476 pingat masing-masing emas dan perak manakala 952 pingat gangsa akan dianugerahkan kepada pemenang.

Sementara itu, Lee berkata pejabatnya juga akan menganjurkan Karnival Sukan Jabatan dan Agensi Kerajaan Peringkat Negeri untuk mengukuhkan lagi jalinan persahabatan dan kerjasama yang akan disertai kira-kira 3,000 penjawat awam.

Katanya, karnival sukan yang melibatkan enam sukan iaitu golf, badminton, bola tampar, bola jaring, boling dan futsal akan berlangsung di empat venue di sekitar bandar raya Ipoh bermula 26 Oktober sehingga 17 November ini.

"Karnival Sukan dan Agensi Kerajaan Peringkat Negeri Perak ini juga merupakan salah satu usaha untuk menyokong pelaksanaan Bulan Sukan Negara yang berlangsung sepanjang Oktober 2019," katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel