Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Zuraida dengar keluhan pemohon PPR Permatang Tok Suboh


Tarikh kemaskini: 16/10/2019




BUKIT MERTAJAM, 16 Okt  -- Suasana sekitar Majlis Pelancaran dan Penyerahan Surat Tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Permatang Tok Suboh, di sini hari ini kecoh apabila lebih 50 orang yang mendakwa penduduk asal Kampung Permatang Tok Suboh tidak berpuas hati selepas mendapati nama mereka tiada dalam senarai penerima perumahan itu.

Wakil penduduk terlibat, Rosli Sukor, 43, berkata mereka bertambah berang apabila mendapati kebanyakan penerima PPR itu bukan penduduk asal kampung tersebut. 

"Kami sebagai anak jati Kampung Tok Suboh kecewa tidak dapat rumah. Kami berdoa siang malam untuk dapat rumah kos rendah ini tetapi mereka bagi kepada orang luar. Siapa yang tak sedih anak jati Tok Suboh tidak dapat. 

"Kami juga ada membuat permohonan perumahan ini melalui PERDA (Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang) enam bulan lalu tetapi malangnya nama kami tidak tersenarai hari ini," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menyerahkan surat tawaran Skim Perumahan Secara Sewa Beli PPR Permatang Tok Suboh kepada 20 penerima program perumahan itu pada majlis itu.

Kumpulan penduduk itu kemudiannya ditenangkan oleh pegawai Zuraida dan memaklumkan menteri itu akan mengadakan pertemuan dengan mereka selepas majlis tamat.

Sementara itu, pada sidang media, Zuraida berkata pihak kerajaan negeri tidak mendapat maklumat berhubung permohonan yang dibuat oleh kumpulan penduduk terbabit berikutan permohonan mereka dibuat melalui PERDA.

"Sudah tentu Yang Berhormat dan Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri tidak tahu kerana permohonan dibuat melalui PERDA yang tidak ada komunikasi dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, pejabat perumahan dan sebagainya. 

"Jadi, untuk berlaku adil kepada mereka yang hadir pada hari ini maka saya telah mengarahkan seorang pegawai Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri untuk menerima borang permohonan mereka. Permohonan mereka ini akan ditapis dan kita akan pastikan mereka yang benar-benar layak untuk mendapat tawaran perumahan ini," katanya.

Beliau berkata daripada 231 buah unit rumah PPR itu sebanyak 80 permohonan telah diluluskan dan bakinya masih dalam semakan dan belum dibuat tapisan yang terakhir.

Zuraida berkata permohonan kumpulan penduduk itu akan diberi keutamaan dan sekiranya mereka tidak terpilih untuk mendapat PPR Permatang Tok Suboh nama mereka akan diletakkan dalam senarai menunggu dan diberi keutamaan bagi projek PPR yang akan datang.

"Itu jalan penyelesaiannya yang telah kita buat kepada penduduk. Mereka agak berpuas hati kerana mereka tidak mendapat maklumat yang tepat dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo yang turut hadir berkata keutamaan akan diberikan kepada mereka yang telah diarahkan untuk berpindah.

"Selain dari senarai menunggu yang biasa, kita juga ada satu senarai keutamaan antara lain pemohon yang diberi keutamaan adalah mereka yang mempunyai surat perintah pindah. Kita ada syarat-syarat kelayakan dengan mengambil kira pendapatan, tanggungan, sama ada sudah mempunyai rumah atau tidak.

"Tetapi untuk perintah pindah walaupun sudah memiliki rumah kita boleh pertimbangkan permohonan mereka. Kita ada syarat kita untuk buat pemilihan kerana kita ada lebih daripada 40,000 orang di dalam senarai menunggu," katanya.

PPR Permatang Tok Suboh merangkumi 231 unit rumah teres setingkat seluas 700 kaki persegi telah siap sepenuhnya pada 21 Dis 2017 dengan harga jualan sebanyak RM49,000 di bawah skim sewa untuk milik di mana pembeli hanya perlu membayar RM205 sebulan untuk tempoh 20 tahun.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel