Kastam rampas minuman keras pelbagai jenama bernilai RM1.0 juta
Tarikh kemaskini: 16/10/2019

ALOR SETAR, 16 Okt -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah merampas 4,188 karton minuman keras pelbagai jenama bernilai RM1.0 juta termasuk cukai di Pelabuhan Utara Pelabuhan Klang, Selangor pada 10 Okt lepas.
Pengarahnya, Datuk Johari Alifiah berkata bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota JKDM dari Cawangan Alor Setar telah menahan dan memeriksa dua kontena yang mengandungi minuman keras terbabit pada pukul 10.15 pagi .
“Hasil pemeriksaan, kita menemui 100,512 tin minuman keras dengan anggaran 37,000 liter yang dianggarkan bernilai RM258,000. Manakala jumlah keseluruhan duti atau cukai yang terlibat adalah sebanyak RM742,000.
“Kesemua minuman keras yang dipercayai diimport dari Jepun untuk pasaran tempatan itu menggunakan modus operandi dengan mengikrarkan barang dagangan yang tidak benar iaitu kelengkapan alat penghawa dingin,” katanya kepada dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport atau mengeksport barang tidak berkastam atau apa-apa barang larangan.
“Pihak terlibat boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 atau dipenjarakan tidak kurang daripada enam bulan atau kedua-duanya sekali.
“Saya mohon orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barangan seperti rokok, minuman keras atau dadah dengan menghubungi talian bebas tol kastam di talian 1800-88-8855 atau pejabat kastam negeri,” katanya.
-- BERNAMA
|