Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Terengganu terima wang tunai petroleum RM1.277 bilion setakat Sept 2019 - MB


Tarikh kemaskini: 16/10/2019





KUALA TERENGGANU, 16 Okt -- Kerajaan Terengganu hari ini mengesahkan telah menerima sebanyak RM1.277 bilion Wang Tunai Petroleum (WTP) sejak Jan hingga Sept lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri berterima kasih dengan kerajaan pusat kerana menyalurkan WTP itu meskipun kadar hutang Terengganu yang dipotong agak tinggi iaitu 25 peratus.

Sambil menzahirkan kesyukuran, beliau berkata RM1.277 bilion itu adalah jumlah selepas Kementerian Kewangan memotong hutang kerajaan negeri 25 peratus, bersamaan dengan RM129 juta. 

Menurutnya pada bulan Mei 2018, jumlah hutang asal Terengganu ialah lebih RM700 juta, dan kini selepas pemotongan 25 peratus, bakinya dijangka dapat dilangsaikan tahun depan.

"Jadi, Terengganu akan menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang tiada hutang (jika Kementerian Kewangan meneruskan potongan hutang 25 peratus)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri masih cuba berunding dengan Kementerian Kewangan untuk menurunkan kadar potongan hutang daripada 25 peratus kepada kadar yang lebih munasabah.

"Walaupun untuk jangka masa panjang memang ada positifnya untuk kerajaan negeri dan kewangan (bebas hutang), tapi untuk tahun 2020, Terengganu berdepan dengan keadaan paling mencabar sebab kita ada komitmen sebanyak RM403 juta Bayaran Tertangguh dan Bayaran Berjadual yang perlu dibayar.

"Ia adalah jumlah tertinggi dalam keseluruhan bayaran. Sebab itu kita masih cuba berunding, rayu dengan Kementerian Kewangan supaya potongan hutang 25 peratus itu dapat dikurangkan," katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel