Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rohan menang peringkat kedua, pertahankan jersi biru


Tarikh kemaskini: 16/10/2019





CHUKAI, 16 Okt  -- Pelumba pasukan ProTouch, Rohan du Plooy dari Afrika Selatan memecut dalam 15 kilometer (km) terakhir untuk memenangi peringkat kedua kejohanan sulung Tour of Peninsular (ToP), di sini hari ini.  

Pelumba berusia 25 tahun itu mencatat masa tiga jam dan 30.43 saat dalam perlumbaan sejauh 157.4km di laluan yang rata hari ini dari Pasarnita Tanjung, Kuala Terengganu ke Padang Astaka, Cukai, selepas bergelut dengan angin lintang di laluan pantai timur itu.  

Pelumba Iran, Amirhossein Jamshidian Ghlehsefidi daripada pasukan Foolad Mobarakeh Sepahan menamatkan perlumbaan di tempat kedua sementara Mohd Harrif Saleh daripada Terengganu Inc TSG Cycling Team memastikan ada lagi wakil Malaysia menaiki podium selepas Muhammad Daniel Haikkal Edy Suhaidee meraih tempat ketiga semalam.

Rohan juga mempertahankan jersi biru (Raja Pecut) yang diperolehnya dengan 37 mata keseluruhan, 17 mata di hadapan Mario Vogt daripada Team Sapura Cycling (TSC) selepas tiga pecutan di Marang, Kuala Dungun dan Paka, hari ini. 

“Selepas peringkat yang hangat dan mencabar semalam, saya fikir setiap orang sudah kepenatan.   Ada satu kumpulan pemecah kecil selepas pendakian, jadi saya mengikuti mereka dan menyerang dari sana,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian hadiah.

“Kami mempunyai beberapa perancangan dan pilihan hari ini, saya sangat gembira dapat memenuhi satu daripada pilihan hari ini dan tanpa pasukan saya, saya tidak akan mampu mencapainya. Setiap hari adalah satu peluang, anda perlu ada rancangan berbeza dan strategi untuk esok dan mencubanya lagi,” katanya.

Sementara itu, pemenang semalam Elchin Asadov daripada pasukan kebangsaan Azerbaijan mempertahankan jersi kuningnya (pendahulu keseluruhan) dengan catatan masa 7:27.59s, selepas menamatkan perlumbaan dalam kelompok utama dengan Cristian Raileanu daripada TSG mengekori rapat dengan jarak hanya 0.04s. 

Seorang lagi pelumba Malaysia, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff merampas jersi merah (Raja Bukit) daripada pelumba Indonesia, Aiman Cahyadi daripada PGN Road Cycling Team berdasarkan masa penamat, walaupun kedua-kedua pelumba berkongsi enam mata selepas satu-satunya pendakian Kategori 4 di Kijal hari ini. 

“Saya memang nak menang jersi ini dari awal, tetapi semalam terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua, jadi saya cuba pada hari ini dan berjaya merampasnya. Saya akan cuba sedaya upaya untuk mengekalkan jersi ini pada esok,” katanya.

Pelumba pasukan kebangsaan Malaysia, Muhammad Daniel Haikkal Edy Suhaidee berjaya mempertahankan jersi putihnya (Pelumba Terbaik Asia) dengan masa 7:28.05s.

Peringkat ketiga esok dari Padang MPK2, Kuantan ke Jalan Besar Karak (172.7km) , bakal menjadi perlumbaan yang sukar diramal dengan tiga zon pecutan di Temerloh, Chenor dan Gambang, selain daripada pendakian Kategori 4 di Sri Jaya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel