PBSNT cadang lantik pengarah teknikal musim depan
Tarikh kemaskini: 16/10/2019

KUALA TERENGGANU, 16 Okt -- Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bercadang mewujudkan jawatan pengarah teknikal pada musim depan bagi memastikan pembangunan bola sepak bermula dari peringkat akar umbi.
Timbalan Presiden, Hishamuddin Abd Karim berkata berkata cadangan itu sedang diperhalusi secara mendalam kerana melibatkan jumlah dana yang tinggi serta memerlukan penglibatan jurulatih atau pakar berpengalaman.
Bagaimanapun menurut beliau, PBSNT akan cuba sedaya upaya merealisasikan perkara itu pada musim depan sepertimana yang dicadangkan oleh pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini.
"Masih ada komitmen untuk melaksanakan perkara itu (pengarah teknikal), tetapi kita perlu selesaikan dahulu pelantikan ketua jurulatih dan penolong jurulatih untuk pasukan Terengganu FC (TFC) hingga TFC V dalam masa terdekat ini.
"Kita akan tengok pada kemampuan kewangan, tetapi InsyaAllah mungkin akan ada (pengarah teknikal) tahun depan," katanya kepada ketika dihubungi Bernama.
Mengulas lanjut Hishamuddin berkata pelantikan pengarah teknikal juga dilihat selari dengan hala tuju PBSNT kali ini yang mahu mewujudkan kesinambungan pemain iaitu dari pasukan bawah hingga ke skuad utama.
Selain itu ia juga dapat mengangkat lebih ramai bakat anak negeri melalui pembangunan aktiviti akar umbi bertepatan dengan sasaran badan induk negeri untuk menampilkan 80 peratus pemain anak jati negeri dalam pasukan TFC dan TFC ll.
FAM sebelum ini menggesa semua pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) melantik pengarah teknikal masing-masing bagi memastikan pembangunan bola sepak bermula dari peringkat bawah.
-- BERNAMA
|