I4-yB_Dv1pw 15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh


Tarikh kemaskini: 17/10/2019





PUTRAJAYA, 17 Okt -- Seramai 15,000 pengunjung dijangka hadir pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019 yang akan diadakan di Ipoh, Perak pada 16 November ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Isham Ishak berkata pelbagai acara kebudayaan akan diadakan sempena majlis itu bagi memberi gambaran kepada pengunjung terutamanya pelancong luar mengenai kepelbagaian budaya di negara ini menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).

"Diharapkan pelancong seluruh dunia akan datang ke Ipoh dan melihat sendiri bagaimana kita membuat persiapan Deepavali, bagaimana ia disambut dan aktiviti-aktiviti yang diadakan serta kraftangan yang dihasilkan kaum India.

"Ini merupakan satu produk yang sangat baik dan kita dapat lihat majlis-majlis rumah terbuka yang diadakan sebelum ini sangat berjaya, dari segi inklusiviti memang mencapai objektif yang disasarkan," katanya kepada media selepas melancarkan Pertandingan Kolam Rangoli MOTAC, di sini hari ini.

Menurut Isham, Ipoh dipilih sebagai lokasi sambutan tahun ini memandangkan kerajaan negeri Perak memberikan kerjasama dengan menawarkan sumbangan kepada MOTAC dari segi tenaga kerja dan kewangan untuk menjayakan program itu.

Mengenai persediaan MOTAC menjelang TMM 2020 yang berbaki lebih dua bulan lagi, Isham berkata kementerian telah mengadakan pertemuan dengan semua exco pelancongan, seni dan budaya negeri bagi membincangkan kerjasama dan strategi menarik pelancong ke Malaysia.

"Kami bersetuju bahawa kami tidak akan bersaing dalam kalangan negeri, tetapi kami akan membantu antara satu sama lain dalam menjadikannya agenda kejayaan buat negara,” katanya.

Isham berkata MOTAC juga telah melancarkan lagu rasmi TMM 2020 pada 6 Sept lepas dan video rasminya dijangka dilancarkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata pelbagai program juga telah dirangka untuk TMM 2020 bagi menunjukkan kepada dunia bahawa terdapat pelbagai lokasi dan aktiviti menarik yang boleh diteroka di negara ini.

"Kami juga menggalakkan orang ramai untuk memastikan Malaysia bersih terutamanya tandas awam, jalan dan kawasan pelancongan kerana kita mahu menunjukkan hospitaliti Malaysia, keramahan kami, kebersihan, dan mengalu-alukan kedatangan pelancong,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel