PGA Sarawak gagalkan cubaan seludup pelbagai barangan bernilai lebih RM1 juta ke Indonesia
Tarikh kemaskini: 17/10/2019

KUCHING, 17 Okt -- Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kuching, menggagalkan cubaan menyeludup keluar pelbagai barangan dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM1 juta, di kawasan sempadan Malaysia dan Indonesia berhampiran Kampung Serikin, Bau.
Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Kuching, Supt Rosdi Inai berkata operasi dijalankan 10 pegawai dan anggota dari Unit Risik diketuai ASP Mohd Mazlan Mohd Ariff, dengan kerjasama dua Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 6.05 petang kelmarin.
“Tiga buah lori ditahan dan hasil pemeriksaan menemui 165 guni pakaian terpakai (bundle), 400 guni dedak makanan haiwan, 2,400 kotak minuman pelbagai jenis dan 115 kotak makanan pelbagai jenis.
“Siasatan juga mendapati tiada sebarang dokumen yang sah bagi tujuan membawa keluar barang tersebut, yang mana telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosdi berkata pihaknya juga berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 32 hingga 44 tahun sebagai pemandu, yang dipercayai diupah bagi membawa barang tersebut.
“Hasil maklumat yang diperolehi, barangan ini dipercayai akan diseludup ke negara jiran, kerana permintaan dan harga yang tinggi di sana.
“Kesemua tangkapan dan barang rampasan diserah kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk siasatan lanjut.
-- BERNAMA
|