Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis Kelantan rampas lebih 500 gegantung pinjaman wang tidak berlesen


Tarikh kemaskini: 17/10/2019





KOTA BHARU, 17 Okt -- Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kelantan dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) bertindak merampas lebih 500 poster dan gegantung iklan pinjaman wang tidak berlesen dalam Op Vulture hari ini.

Ketua JSJK Kelantan Supt Ahmad Azizul Mohamed berkata operasi itu dilakukan bagi membanteras kegiatan penipuan daripada syarikat pinjaman wang tidak berlesen yang menyasarkan orang ramai.

Beliau berkata walaupun kes melibatkan syarikat pinjaman wang tidak begitu serius di negeri ini namun langkah pencegahan adalah lebih penting untuk mengelak orang ramai menjadi mangsa.

"Sehingga kini hanya terdapat tujuh kes melibatkan syarikat pinjaman wang tidak berlesen ini berbanding enam kes dalam tempoh sama tahun lepas.

"Meskipun dilihat tidak serius tetapi kegiatan seperti ini perlu dibanteras lebih awal daripada terus menular," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan MPKB, Izuddin Ab Rashid di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Ahmad Azizul berkata dalam operasi hari ini, seramai 15 anggota polis serta 20 anggota penguat kuasa MPKB bertindak membuang 500 poster dan gegantung yang dipasang oleh syarikat pinjaman tidak berlesen di sekitar bandar Kota Bharu.

"Berdasarkan poster yang dirampas, syarikat pinjaman ini mengiklankan dengan mengatakan mereka berlesen walaupun sebenarnya tidak, justeru orang ramai diseru supaya membuat pinjaman dengan institusi yang berlesen termasuk bank yang sah supaya tidak tertipu," katanya.

Beliau berkata sindiket pinjaman ini menggunakan modus operandi dengan mengarahkan individu yang ingin memohon pinjaman membuat beberapa pembayaran kononnya untuk duti setem, bayaran kepada peguam dan pembayaran pendahuluan.

"Sebaik semua bayaran itu dibuat, pinjaman tidak juga diperoleh dan syarikat yang diiklankan sebenarnya tidak wujud.

"Bagi kes sebegini, sebanyak 127 kes dicatatkan sejak Januari tahun ini hingga semalam. Sejak 1 Okt hingga semalam juga, sembilan kes dicatatkan dengan melibatkan kerugian sebanyak RM35,000," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel