Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

UCYP, KiddoCare jalin kerjasama tawar pekerjaan kepada graduan


Tarikh kemaskini: 17/10/2019





KUANTAN, 17 Okt  -- Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat penyedia pengasuh separuh masa KiddoCare bagi menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan pendidikan awal kanak-kanak dari kolej itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata langkah ini dilihat bertepatan dengan permintaan terhadap sektor penjagaan kanak-kanak yang semakin meningkat. 

"Saya percaya MoU ini dapat mencari jalan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada bakal pelanggan mereka selain menjadikan UCYP sebagai contoh berkaitan penjagaan awal kanak-kanak terbaik di negara ini.

"Selain itu, sektor ekonomi berkaitan penjagaan kanak-kanak juga berpotensi untuk diteroka dengan lebih meluas selain jalinan kerjasama ini akan memudahkan akses penjagaan anak kepada masyarakat," katanya. 

Shahaniza ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU antara UCYP dan KiddoCare di sini, yang turut dihadiri  Naib Canselor UCYP, Prof Emeritus Datuk Dr Ahmad Zainuddin. 

Pada majlis itu, UCYP diwakili Pengerusi Lembaga Pengelola Tan Sri Noorul Ainur Mohd Nor manakala KiddoCare diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Nadhira Mohd Yusof.

Sementara itu, Noorul Ainur berkata UCYP telah memperkenalkan pengajian diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak bermula 2014 dan pengajian ijazah sarjana muda pada September lepas.

"Setakat ini terdapat 230 pelajar sedang mengikuti pengajian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda di UCYP. 

"Selain program ini, UCYP turut menawarkan beberapa program baharu berkaitan psikologi dan pengurusan kanak-kanak istimewa bagi menjadikan mereka lebih kompetitif apabila memasuki pasaran kerja kelak," katanya.

Noorul Ainur berkata kerjasama ini turut mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Kebajikan Malaysia Pahang sebagai agensi bertauliah dalam menjalankan Kursus Asuhan Permata.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     

Sultan Selangor berkenan hadir ke Jamuan Teh Diraja

 
     

LTTE: Permohonan ikat jamin dua ADUN, ketua pegawai perbadanan didengar Isnin

 
     

Dewan Negara: LPT2 catat 246 kes kemalangan maut dari Januari 2016-Oktober 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel