Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerjasama holistik perlu untuk kemampanan industri pelancongan Sabah - Liew


Tarikh kemaskini: 17/10/2019





KOTA KINABALU, 17 Okt -- Dasar sahaja tidak mencukupi untuk mengurus pelancongan mampan, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew.

Beliau berkata hubungan harmoni antara masyarakat tempatan, sektor swasta yang secara langsung dan tidak langsung terlibat dalam pelancongan serta kerajaan adalah teras utama dalam amalan pembangunan untuk melindungi persekitaran alam semula jadi dan kebudayaan, seiring dengan pertumbuhan ekonomi.

Katanya, kerjasama holistik antara kerajaan, industri, sektor swasta, orang awam, golongan profesional dan ahli akademik adalah penting untuk memastikan pertumbuhan industri pelancongan yang mampan di Malaysia.

“Kita semua harus mempunyai tanggungjawab sosial dan komitmen tinggi terhadap alam semula jadi kerana warisan semula jadi adalah milik kita semua. Kita mesti melindungi aset tersebut (alam semula jadi) untuk generasi akan datang,” kata beliau.

Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata demikian ketika berucap merasmikan seminar ‘Meningkatkan Hasil Melalui Pertumbuhan serta Amalan Lestari dalam Perjalanan dan Pelancongan: Mengamalkan Piawaian Lestari Global’ di sini, hari ini.

“Bagi mencapai pembangunan mampan dalam industri pelancongan Malaysia, kerajaan telah menekankan kepentingan memelihara alam semula jadi dan keindahan warisan budaya,” katanya.

Sementara itu, pengerusi penganjur Prof Dr Jennifer Chan Kim Lian dari Pusat Penyelidikan Pelancongan Borneo Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata seminar berkenaan menampilkan dua pakar antarabangsa terkemuka dari Majlis Pelancongan Lestari Global (GSTC) dan Rangkaian Ekopelancongan Asia (AEN) serta lima pakar pelancongan tempatan sebagai penceramah.

Beliau berkata seminar itu menjadi platform efektif untuk peserta menimba pemahaman mendalam mengenai amalan mampan antarabangsa, isu mengikut konteks di Sabah serta menetapkan visi dan misi yang jelas untuk mengubah Sabah menjadi destinasi mesra alam.

“Melalui langkah ini, keuntungan dari perniagaan pelancongan pada masa depan akan dikekalkan dan ditingkatkan, sumber alam pelancongan akan dipulihara dan dipelihara serta kesejahteraan masyarakat akan ditingkatkan," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel