Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

CMO perjelas kenyataan berkaitan kemasukan penduduk Sabah ke Sarawak


Tarikh kemaskini: 17/10/2019





KUCHING, 17 Okt  --  Sebarang keputusan untuk melonggarkan terma bagi penduduk Sabah  memasuki Sarawak akan hanya dibuat selepas pertimbangan teliti dan menyeluruh, kata Pejabat Ketua Menteri (CMO) Sarawak.

Menurut kenyataan CMO hari ini, laporan media baru-baru ini yang memetik Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai berkata langkah itu akan berkuat kuasa serta merta adalah tidak tepat.

“Dalam hubungan ini, CMO ingin memperjelaskan bahawa apa yang ketua menteri katakan sebagai menjawab soalan seorang wartawan di Kota Kinabalu baru-baru ini, tidak mencadangkan dalam apa juga cara, bahawa kelonggaran seperti itu akan dilaksanakan tanpa pertimbangan yang menyeluruh dan teliti berkaitan keadaan sosial dan geopolitik, termasuk masalah pelarian,” kata CMO menerusi kenyataan ringkas.

Kenyataan itu menegaskan bahawa ketua menteri menyatakan dengan jelas bahawa urusan sedia ada masih kekal.

Ia turut memetik kenyataan ketua menteri yang menyebut malah pada hari ini, tiada masalah bagi penduduk di kedua-dua negeri untuk masuk dan keluar Sabah serta Sarawak kerana tiada bayaran dikenakan.

Menurut laporan Bernama pada Selasa lepas, Abang Johari memberitahu pemberita di Kota Kinabalu bahawa Sarawak akan mempertimbangkan keperluan imigresennya yang ketat bagi penduduk Sabah memasuki negeri itu.

Abang Johari dan anggota Kabinet melakukan lawatan dua hari ke Kota Kinabalu untuk menjalin hubungan dan kerjasama lebih rapat dengan rakan sejawatan mereka di Sabah.

Pada masa ini, penduduk Sabah yang memasuki Sarawak perlu mengemukakan kad pengenalan mereka di kaunter imigresen selaras dengan hak Sarawak berhubung imigresen seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

K'jaan Selangor sedang proses kelulusan tapak tanah Highland Towers untuk dibangunkan semula

 
     

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel