Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019


Tarikh kemaskini: 19/10/2019





KUALA LUMPUR, 19 Okt -- Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan merasmikan Festival Busana Tradisional Kreatif Kuala Lumpur 2019. 

Hadir bersama anakandanya, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah kira-kira pukul 2.45 petang, ketibaan Tunku Azizah di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB) disambut dengan alunan muzik tradisional gamelan.

Baginda memasuki Dewan dengan diiringi isteri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datin Rabithah Zakariah, dan disajikan dengan persembahan tarian 'selamat datang' oleh artis budaya DBKL. 

Tunku Azizah kemudiannya berkenan merasmikan festival itu dengan meletakan tangan baginda ke atas skrin sebagai gimik pelancaran.

"Sebagai seorang yang memartabatkan warisan tradisional, sudah tentu saya akan hadir (ke festival ini) kerana begitu minat dengan kraf dan warisan," titah baginda ketika merasmikan festival berkenaan. 

Tunku Azizah juga berkenan menerima persembahan tengkolok berwarna hitam bertekad benang emas yang direka khas sebagai tanda menjunjung kasih di atas kehadiran baginda ke majlis hari ini.

Terdahulu, Rabithah menyampaikan sembah ucapan menjunjung kasih mengalu alukan kehadiran baginda. 

Selepas menyaksikan peragaan busana selama 30 minit, Tunku Azizah kemudiannya berkenan mencemar duli selama hampir setengah jam melawat ruang-ruang pameran yang memaparkan rekaan-rekaan hasil batik, songket serta hiasan tradisional, sebelum berangkat pulang.

Festival hari ini merupakan satu pertandingan fesyen yang berpaksikan kepada pakaian busana tradisional Malaysia dengan antaranya bertujuan untuk mengangkat, memartabatkan serta mengekalkan keunikan tradisi busana yang pelbagai dan unik. 

Festival yang dicetuskan penganjurannya pada tahun 2017 itu dianjurkan bersama pereka fesyen Dwen Raha, bersempena Program Bulan Rekabentuk Kuala Lumpur 2019 (KUL Design Month 2019) untuk edisi tahun ini, dan acaranya dimeriahkan dengan kehadiran pereka  tersohor dan ikon dalam bidang peragaan fesyen seperti Hatta Dolmat, Man Kajang, Shanell Harun, Shazreeyana Syukri dan Sanjeda John. 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel