Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan


Tarikh kemaskini: 20/10/2019





IPOH, 20 Okt -- Usaha memanjangkan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini akan dimulakan sejurus pembentangan belanjawan diluluskan tahun hadapan, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata dalam pembentangan Belanjawan 2020 baru-baru ini, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sejumlah RM150 juta bagi tujuan itu.

"Pembentangan baru dibuat di Parlimen dan ia perlu diluluskan terlebih dahulu. Saya percaya sebaik ia diluluskan tahun hadapan, kita boleh mula perbincangan untuk memulakan proses pengambilalihan tanah dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Ipoh Car Free Day di Jalan Raja Dihilir di sini hari ini.

Dalam pada itu, ditanya sama ada projek tersebut akan menjejaskan penduduk sekitar atau tidak, Ahmad Faizal berkata ia berkemungkinan akan berlaku kerana mengikut cadangan awal laluan akan dipanjangkan kira-kira 500 meter (m).

"Perancangan sebelum ini adalah 500m menjadikan ia 2.5 kilometer untuk menerima pesawat-pesawat yang boleh terbang sekitar atau di bawah tiga jam penerbangan.

"Dengan pembesaran lapangan terbang ini kita percaya banyak lagi laluan dapat kita buka terutama ke selatan India dan juga bandar raya di selatan China," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai mulai 1 Jan 2020, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sedang berbincang dengan beberapa pengusaha perniagaan bebas cukai untuk membuka premis di pulau berkenaan.

"Saya berharap bermula 1 Jan itu orang ramai sudah boleh membeli barangan bebas cukai di Pulau Pangkor. Setakat ini kerajaan negeri telah mengeluarkan RM5 juta untuk mengindahkan laluan pejalan kaki dan sebagainya.

"Selain itu, kita juga sedang gigih bekerjasama dengan pihak swasta untuk menggalakkan pelaburan bagi menambah baik fasiliti di sana termasuk menambah bilik hotel," katanya.

Tambah beliau, melalui perbincangan dengan Kementerian Kewangan, arak tidak akan dijual secara bebas cukai namun berkemungkinan rokok akan dibenarkan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel