Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ibu tunggal rayu sumbangan urus anak terlantar hampir 14 tahun


Tarikh kemaskini: 20/10/2019




KOTA BHARU, 20 Okt -- Seorang ibu tunggal yang tiada pendapatan merayu bantuan orang ramai bagi meringankan beban yang dialami demi menguruskan keperluan anaknya yang terlantar hampir 14 tahun. 

Bercerita lanjut, Siti Eshah Mahamood, 60, berkata anaknya Mohd Faizul Rahimi, 32, terlibat dalam kemalangan selepas kereta yang dipandu rakannya terbabas ketika dalam perjalanan pulang ke asramanya semasa mengikuti pengajian tahun akhir di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuching, Sarawak pada tahun 2006.

Katanya, ekoran daripada kemalangan terbabit anak sulungnya itu terpaksa dirawat di Hospital Besar Kuching hampir sebulan akibat tulang belakang patah selain saraf tengkuknya turut hancur. 

“Selepas dirawat di Hospital Besar Kuching, Mohd Faizul dihantar untuk menerima rawatan selanjutnya di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selama tiga bulan sebelum dibenarkan pulang,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Batu 4, Jalan Kuala Krai di sini, hari ini.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, lagi menyedihkan apabila Mohd Faizul mula dijangkiti kuman akibat ‘bedsores’ daripada paras pinggul hingga ke bawah sejak 2008. 

Katanya, akibat jangkitan kuman itu Mohd Faizul terpaksa dirawat di HRPZ II selama setahun yang menyebabkan tulang pinggulnya dibuang selain terpaksa menjalani pembedahan untuk membuat beg stoma (beg najis). 

“Sejak setahun lalu juga, kaki Mohd Faizul telah bertukar menjadi kehitaman serta berkuping daripada paras pinggul hingga ke bawah akibat jangkitan kuman berkenaan.

“Malah, disebabkan masalah pengangkutan dan kekangan hidup juga saya kini tidak mampu untuk berulang-alik ke hospital bagi memenuhi janji temu Mohd Faizul untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.

Siti Eshah yang kematian suami Rahimi Ismail akibat serangan jantung pada tahun 2010 berkata dia memerlukan hampir RM500 sebulan untuk membeli keperluan beg stoma, beg kencing dan juga kelengkapan untuk mencuci luka Mohd Faizul. 

“Kini saya hanya bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atas nama anak saya ini sebanyak RM350 sebulan selain sumbangan orang ramai serta kenalan untuk menyara kehidupan dan memenuhi keperluan Mohd Faizul. 

“Nak harapkan anak lain pun tidak boleh juga, mereka pun hanya kerja biasa dan cukup sekadar menyara keluarga masing-masing sahaja,” katanya yang mempunyai anak berumur 24 hingga 32 tahun. 

“Buat masa ini, saya amat memerlukan ruang bilik yang selesa untuk Mohd Faizul yang dilengkapi tandas memandangkan bilik yang menempatkannya sekarang sudah dimamah anai-anai selain untuk memudahkan urusan memandikannya,” katanya. 

Siti Eshah berharap ada pihak yang sudi membantu meringankan beban yang ditanggung ketika ini, dan orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Rakyat bernombor 220881279918 atas nama Siti Eshah Mahamood atau boleh menghubunginya di talian 011-27718601.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel