Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lima projek berimpak tinggi di Kelantan perlu perincian - Mohd Radzi


Tarikh kemaskini: 20/10/2019





KOTA BHARU, 20 Okt -- Pelaksanaan lima projek berimpak tinggi di Kelantan akan diputuskan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,  kata timbalan beliau, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Katanya walaupun projek tersebut tidak disebut dalam Belanjawan 2020, tidak bermakna ia tidak akan dilaksanakan.

"Dalam pembentangan belanjawan menteri tidak akan menyebut semua perkara secara strategik. Kita perlu jelas dengan konsep pembentangan belanjawan. Dengan menyatakan tidak disebut itu seolah tiada apa-apa untuk negeri Kelantan adalah satu perspektif yang tidak tepat.

"Kita kena faham lima projek itu perlu perincian… bila dan projek mana yang didahulukan atau dikemudiankan berdasarkan peruntukan yang kerajaan ada," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pembukaan Pakej 2A Kadok Ke Ketereh Projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai di sini, hari ini yang disempurnakan Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyatakan kekecewaan kerajaan Kelantan berikutan tiada peruntukan khusus yang disebut dalam Belanjawan 2020 bagi lima projek utama yang diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Mac lepas.

Mohd Amar sebelum ini dilaporkan berkata lima projek utama berkenaan berkemungkinan terjejas kerana tiada peruntukan khusus bagi menggerakkannya.

Mac lepas, Mohamed Azmin dilaporkan berkata Kelantan bakal mendapat limpahan pembangunan apabila lima projek utama akan diberi keutamaan oleh Kerajaan Persekutuan untuk disiapkan dalam tempoh terdekat.

Beliau dipetik sebagai berkata  lima projek tersebut adalah Pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, laluan baharu antara Pasir Puteh-Machang-Jeli, Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dan Jambatan Palekbang-Kota Bharu.

Dalam pada itu Mohd Radzi berkata semua projek tersebut memang menjadi keutamaan kepada negeri Kelantan seperti mana yang dinyatakan Mohamed Azmin sebelum ini dan ia akan diperincikan dalam masa terdekat.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel