Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JAS benarkan syarikat kelapa sawit beroperasi sementara


Tarikh kemaskini: 20/10/2019




JOHOR BAHRU, 20 Okt  -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersetuju untuk membenarkan sebuah syarikat yang mengendalikan kilang pemprosesan kelapa sawit dekat Tangkak yang digantung lesen, beroperasi buat sementara waktu mengikut tempoh yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan , Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata syarikat Mestika Sdn Bhd yang terletak di sempadan Jementah-Kebun Bahru itu, mengemukakan permohonan pengoperasian sementara pada 15 Okt lepas.

Katanya, permohonan itu dilakukan bagi menghasilkan efluen,  seterusnya mengaktifkan sekali gus menyiapkan kelengkapan bagi pembinaan loji biogas.

Menurutnya, pembinaan loji biogas di premis berkenaan adalah bagi menyelesaikan masalah pencemaran udara yang menjejaskan kesejahteraan masyarakat setempat.

“JAS telah meneliti permohonan berkenaan dan bersetuju untuk membenarkan operasi sementara diberikan kepada syarikat tersebut selama tempoh 70 hari bermula dari 22 Okt hingga 30 Dis.

Kebenaran ini diberikan berdasarkan surat aku janji bertarikh 9 Sept lepas yang dikemukakan oleh kontraktor lantikan iaitu Red Palm Gas Sdn. Bhd,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Justeru itu Tan berkata, beliau telah mengarahkan pihak JAS untuk memantau secara ketat dan rapi kerja-kerja pembangunan loji biogas sepanjang tempoh operasi sementara berkenaan.

“Langkah tersebut diambil sebagai memastikan kerja-kerja yang dinyatakan berkenaan dijalankan mengikut prosedur dan siap mengikut tempoh masa ditetapkan,” katanya.

Untuk rekod, lesen operasi syarikat berkenaan telah digantung oleh pihak JAS selama tiga bulan sejak bulan September sehingga 18 Dis.

Baru-baru ini Tan dilaporkan berkata, JAS  menggantung lesen operasi kilang memproses kelapa sawit itu kerana menyebabkan insiden pencemaran udara di kawasan sekitarnya.

Sementara itu Tan berkata, akujanji itu antaranya adalah melaksanakan proses kemasukan efluen ke dalam kolam biogas dalam tempoh 40 hari dan seterusnya proses menutup permukaan kolam biogas dengan lapisan membran dalam tempoh 30 hari.

“Selain itu, mereka juga perlu menyiapkan kerja-kerja pembinaan tangki pencampuran, sistem suar dan lain-lain kerja berkaitan di dalam tempoh kebenaran operasi sementara tersebut,” katanya.

Tan berkata dalam masa sama, kerajaan negeri memberi penekanan terhadap perlindungan alam sekitar sebagai teras utama wajib patuh oleh pemain industri berpaksikan agenda Matlamat Pembangunan Mampan.

-- BERNAMA  

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel