Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pasangan suami isteri didakwa seludup pendatang haram


Tarikh kemaskini: 21/10/2019





KOTA BHARU, 21 Okt -- Pasangan suami isteri hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyeludup seramai 20 pendatang tanpa izin warga Myanmar yang dilakukan mereka pada Sept lalu.

Pasangan itu Mahussin Sulaiman, 48, dan Mafuzah Md Isa, 38, mengaku faham pertuduhan namun tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka pada 24 Sept lalu kira-kira pukul 1.30 petang didakwa melakukan penyeludupan migran seramai 20 orang warga Myanmar berusia antara 20 hingga 50 tahun di sebuah rumah di Kampung Tok Leber Beta, Ketereh di sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.

Sementara itu di mahkamah yang sama, seorang pemandu bas didakwa gagal memastikan enam warga Myanmar berusia antara 20 hingga 30 tahun mempunyai dokumen perjalanan yang sah di Stesen Bas Ketereh pada 22 September lalu.

Tertuduh, Dzulkafli Husain, 56, mengaku faham pertuduhan namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas pada tarikh berkenaan pada pukul 12.15 tengah hari didakwa mencapai niat umum sebagai operator pengangkutan bagi tujuan komersil iaitu bas Transnasional, gagal memastikan enam warga Myanmar menaiki pengangkutan itu memiliki dokumen perjalanan yang sah ke Malaysia di Stesen Bas Ketereh di sini.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Subseksyen 26K(1) ATIPSOM 2007 yang boleh dihukum dibawah Subseksyen 26K(2) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Ahmad Bazli kemudiannya menetapkan 21 Nov ini untuk sebutan semula kedua-dua kes tersebut dan kesemua mereka tidak dibenarkan ikat jamin.

Kedua-dua kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry dan kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel