Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pastikan pekerja buat caruman Perkeso untuk jaminan masa depan


Tarikh kemaskini: 21/10/2019





TUMPAT, 21 Okt -- Kegagalan majikan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga bilangan caruman yang dibuat tidak mencukupi boleh menyebabkan pekerja dan keluarga tidak  mendapat sebarang bantuan daripada pertubuhan apabila ditimpa musibah.

Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob  berkata ini disebabkan jumlah  caruman akan menentukan sama ada seseorang pencarum itu layak untuk menerima pencin Ilat atau pencen Penakat.

“Sehubungan itu saya  mengingatkan pekerja sentiasa memastikan majikan membayar caruman setiap bulan bagi melayakan mereka mendapat bantuan dan pencen sekiranya berlaku kemalangan atau kematian.

“Kegagalan majikan mencarum dengan Perkeso akan menyebabkan keluarga tidak akan mendapat sebarang bantuan dan lebih menyedihkan lagi bila anak-anak yang ditinggalkan masih kecil,” katanya semasa melawat Mat Nasir Mat Salleh, 41, yang lumpuh setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 11 Jun lalu.

Katanya, pencen Penakat dibayar kepada orang tanggungan yang layak termasuk isteri dan anak-anak apabila Orang Berinsurans meninggal dunia akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.

Beliau berkata pencen Ilat pula diberikan kepada pekerja yang layak dan disahkan menghidap keilatan oleh Jemaah Doktor atau Jemaah Doktor Rayuan bermula dari tarikh Notis Keilatannya diterima atau tarikh berhenti kerja jika pekerja berhenti kerja selepas Notis Keilatan diterima oleh Pertubuhan dan dibayar selama pekerja mengalami keilatan atau hingga meninggal dunia.

Nora bersama Skuad Perkeso Prihatin Negeri Kelantan yang tiba di kediaman Mat Nasir kira-kira 11.50 pagi menyerahkan bantuan berupa susu dan lampin pakai buang yang diperlukan Mat Nasir.

Mat Nasir cedera parah di kepala koma dan dirawat selama dua bulan di unit rawatan rapi Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian dan kini hanya minum susu empat jam sekali menggunakan tiub.

Beliau berkata, Mat Nasir hanya diberikan  pencen Ilat berupa barangan keperluan harian dan sekiranya ada permintaan barangan lain termasuk katil dan tilam, ia perlu dibuat dengan sokongan doktor.

Sementara itu isteri Mat Nasir, Zuraida Abd Latiff, 39, bersyukur mendapat bantuan itu dan sedikit sebanyak membantu meringankan perbelanjaan keluarga.

“Jika tidak saya menggunakan wang dari bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membeli barang keperluannya,” katanya.

Pasangan itu yang memiliki enam anak termasuk seorang bayi lelaki yang dilahirkan selepas dua minggu Mat Nasir kemalangan kini mengharapkan bantuan orang ramai, jabatan-jabatan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk meneruskan kehidupan. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel