Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bekalan empat kumpulan darah hospital di Melaka pada paras sederhana


Tarikh kemaskini: 21/10/2019





ALOR GAJAH, 21 Okt -- Bekalan darah di negeri Melaka bagi empat kumpulan iaitu O, A, B dan AB berada pada paras sederhana bagi menampung keperluan pesakit di hospital kerajaan di negeri itu sehingga 18 Okt lepas, kata Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong.

Beliau berkata justeru penduduk Melaka diminta tampil menderma darah bagi memastikan bekalan dapat ditingkatkan dan mampu menampung keperluan pesakit.

"Bagaimanapun situasi masih terkawal dan di peringkat Jabatan Kesihatan negeri, kita setiap hari mengadakan kempen derma darah di beberapa lokasi termasuk di Hospital Melaka.

"Lokasi berkenaan kita telah maklumkan dalam Facebook Tabung Darah Melaka. Kita juga menggalakkan lebih ramai pihak menganjurkan kempen derma darah bagi menarik lebih ramai untuk menderma," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Klinik Kesihatan Rembia di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dan ia turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Klinik Kesihatan Rembia merupakan klinik kesihatan jenis tiga yang dibina dengan kos RM21 juta, di atas tanah seluas kira-kira 2.14 hektar di Mukin Rembia dan ia telah mula beroperasi pada 26 Ogos lepas.

Low berkata bekalan darah berkurangan kerana keperluan yang tinggi bagi pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan selain menampung keperluan pembedahan, dan sekiranya bekalan darah mencapai paras kritikal, pihaknya akan meminta bantuan daripada hospital lain.

Sementara itu, katanya kes demam denggi di Melaka terus mencatatkan peningkatan kepada 1,751 kes dalam tempoh Januari hingga 19 Okt lepas, berbanding kira-kira 718 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata daripada jumlah itu 1,262 kes direkodkan di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (238 kes) dan  Jasin (251 kes).

"Jumlah mangsa yang maut akibat demam denggi ialah enam orang iaitu empat di daerah Melaka Tengah dan masing-masing satu di daerah Jasin dan Alor Gajah dalam tempoh sama tahun ini," katanya.

Beliau berkata sehingga kini sembilan lokaliti wabak aktif denggi dikesan di daerah Melaka Tengah iaitu Taman Muhibbah Fasa 1, Taman Seri Duyong Seksyen 3, Kampung Sungai Putat, Kampung Berangan Enam, Lorong Setia Taman Ayer Keroh Height, Taman Ayer Keroh Height, Jalan Parameswara, Taman Kenanga Seksyen 3 dan Jalan Seri Emas 51-59.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel