Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lelaki aibkan adinda Sultan Kelantan pohon maaf


Tarikh kemaskini: 21/10/2019




KOTA BHARU, 21 Okt -- Seorang lelaki yang memuat naik satu hantaran di laman Facebook mendakwa adinda Sultan Kelantan, Tengku Amalin A’ishah Putri Almarhum Sultan Ismail Petra adalah ‘anak angkat’ dan berasal dari kampung, tampil memohon maaf secara terbuka hari ini.

Shaiful Afzan Mahamed, 38, berkata beliau dengan rasa rendah diri memohon kemaafan dan keampunan daripada Tengku Amalin A’ishah Putri atas kesalahan yang telah dilakukan itu.

“Saya tidak berniat untuk mengaibkan atau menjatuhkan nama baik dan martabat Institusi Diraja dan Usrah Kelantan dengan memuat naik kenyataan berbentuk fitnah begitu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Shaiful Afzan menyampaikan permohonan maaf kepada peguam Majdah Muhamad yang mewakili Tengku Amalin A’ishah Putri. 

Shaiful Afzan yang berasal dari Kampung Pantai Irama, Bachok berkata, beliau insaf dan kesal dengan apa yang telah dilakukan, selain telah ditahan reman selama seminggu di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pengkalan Chepa pada 18 Sept lalu, ekoran tindakannya itu.

Lelaki itu turut berjanji perkara sebegini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang dan menyesal atas perbuatannya, serta mengharapkan pengampunan daripada adinda Sultan Kelantan itu.

“Saya juga berharap perkara ini turut memberi pengajaran bukan sahaja kepada diri saya, namun kepada warganet yang lain agar berhati-hati apabila memuat naik komen di laman sosial,” katanya. 

Sementara itu, Majdah berkata beliau akan menyampaikan surat permohonan maaf berkenaan kepada Tengku Amalin A’ishah Putri. 

“Saya akan menyampaikan permohonan maaf ini dan akan menunggu titah dari Tengku Amalin (A’ishah Putri) untuk tindakan selanjutnya,” katanya. 

Pada 17 Sept lepas, Tengku Amalin A’ishah Putri membuat laporan polis berkaitan satu fitnah yang dimuat naik seorang pengguna laman Facebook.

Difahamkan, kenyataan berunsur fitnah yang tersebar di laman Facebook Info Rakyat Dalam Kelantan (IRDK) Version 0.2 itu mengatakan adinda Sultan Kelantan itu, bukanlah puteri bongsu Almarhum Sultan Ismail Petra bersama Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Kenyataan yang dimuat naik itu ternyata berunsur fitnah dan memalukan puteri bongsu yang bergelar Tengku Maharani Putri Kelantan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel