Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Deepavali: Harga barangan keperluan di Melaka masih terkawal


Tarikh kemaskini: 21/10/2019




MELAKA, 21 Okt --  Harga barangan keperluan terutama barang basah di sekitar Melaka menjelang perayaan Deepavali dilihat masih terkawal tanpa sebarang kenaikan harga dikesan, membolehkan pengguna membeli keperluan tanpa bebanan.

Tinjauan Bernama di sini, hari ini mendapati rata-rata orang ramai berpuas hati dengan harga barangan makanan basah seperti ayam, daging, ikan dan sayur yang berpatutan.

Seorang pengguna, R. Patty, 55, berkata kebanyakan harga barangan keperluan tidak naik secara mendadak malah kebanyakan peniaga masih mengekalkan harga yang sama.

"Selalunya ketika musim perayaan, kita khuatir harga barang akan naik terutama ayam dan kambing tetapi buat masa ini harga barangan masih seperti biasa dan mampu dibeli oleh golongan sederhana seperti saya.

"Kita berharap harga barangan sebelum dan selepas perayaan sama seperti hari biasa selain tidak membebankan pengguna untuk membuat persiapan membeli keperluan menyambut perayaan," katanya kepada Bernama.

Seorang lagi pengguna Dashimah Zainal, 52, berkata barangan keperluan seperti daging lembu, ayam, telur dan sayur-sayuran masih berpatutan namun bagi harga ikan pelbagai jenis  kadang-kala berubah mengikut keadaan semasa.

Bagi A Sharmini, 24, yang membantu perniagaan kedai bapanya berkata, harga barangan masih dijual pada harga yang sama tidak kira sebelum atau selepas musim perayaaan.

Katanya, kebiasaannya mereka akan menawarkan harga lebih istimewa untuk barangan tertentu terutamanya sehari menjelang sambutan Deepavali.

Sementara itu,  Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Jaiya Abu ketika dihubungi berkata pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2019 di negeri ini telah bermula.

Katanya ia melibatkan 19 barangan bagi tempoh selama 14 hari bermula 19 Okt hingga 1 Nov dengan pelaksanaan skim itu mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Pemantauan harga ini dilakukan dua kali sehari oleh pegawai dan anggota di pasar, kedai runcit serta pasar raya di negeri ini setiap hari sepanjang skim tersebut dengan melibatkan 57 penguat kuasa dan 26 pegawai pemantauan harga," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel