J5rTXV6b0dU Projek jambatan, jalan Sg Pulai bakal manfaatkan 100,000 masyarakat setempat
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Projek jambatan, jalan Sg Pulai bakal manfaatkan 100,000 masyarakat setempat


Tarikh kemaskini: 22/10/2019





PONTIAN, 22 Okt -- Pembinaan jambatan dan jalan merentasi Sungai Pulai dari Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) ke Tanjung Bin, yang kini sedang rancak dibina, dilihat bakal melonjakkan potensi ekonomi masyarakat setempat apabila siap sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohd Solihan Badri berkata setakat ini, status pembinaan tiga jambatan dan jalan sepanjang 7.5 kilometer itu telah siap sebanyak 20 peratus mengikut jadual.

“Dengan siapnya jambatan ini, ia adalah satu sumbangan yang besar kepada pembangunan ekonomi di kawasan ini yang akan membuka peluang kepada industri baharu di sekitar Tanjung Bin.

“Dalam lima hingga enam tahun akan datang, saya jangka akan memberi kemudahan kepada lebih 100,000 penduduk iaitu kawasan parlimen Tanjung Piai dan Pontian dan seterusnya PTP, Gelang Patah dan Johor Bahru,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak projek berkenaan, di sini.

Laluan baharu itu juga akan memendekkan perjalanan penduduk ke Johor Bahru, menjimatkan masa daripada 51 minit kepada 15 minit sahaja.

Projek inisiatif swasta itu menelan kos sebanyak RM673.483 juta, dijangka siap pada 31 Okt 2021.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa mengikuti perkembangan projek infrastruktur yang dilaksanakan bagi memastikan ia mengikut jadual.

Mengulas mengenai projek itu yang terletak berhampiran dengan hutan simpan paya bakau, beliau berkata kontraktor yang melaksanakan projek itu menggunakan kaedah yang termoden dan mematuhi ketetapan yang ditetapkan oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar.

“Kita sangat menjaga kesan projek ini kepada alam sekitar tetapi saya suka mengingatkan kepada mereka (kontraktor) supaya apa yang dibuat (tidak mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar)...masa lawatan pun saya lihat, tiada kesan kepada air sungai, diharapkan tiada pencemaran kepada alam sekitar,” katanya.

Projek itu yang meliputi sebahagian besar kawasan berpaya untuk diubah suai sebagai jalan, berbanding menggunakan tanah rata disifatkan satu projek yang kompleks, justeru ia mengambil masa panjang untuk dilaksanakan. 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel