Kapal berlabuh di perairan Johor Timur tanpa kebenaran ditahan
Tarikh kemaskini: 22/10/2019

KOTA TINGGI, 22 Okt -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal jenis Motor Tanker (MT) di perairan Johor Timur semalam kerana berlabuh tanpa kebenaran.
Penahanan pada kira-kira pukul 12.10 tengahari di kedudukan 13.5 batu nautika Timur Tanjung Penawar itu dibuat hasil maklumat orang awam.
Pengarah Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) Kapt Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata kapal berkenaan yang menggunakan nama “Erica 10” dan didaftarkan di Jakarta, Indonesia, didapati tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran untuk bersauh dalam perairan Malaysia sewaktu pemeriksaan dilaksanakan.
“Erica 10 ini dikendalikan oleh 20 kru warga Indonesia termasuk nakhoda yang berumur antara 22 dan 53 tahun. Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu kerana bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut.
“Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
-- BERNAMA
|