Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Banjir: kerja pembersihan parit giat dilaksanakan di Johor


Tarikh kemaskini: 22/10/2019




JOHOR BAHRU, 22 Okt  -- Kerajaan negeri Johor akan memastikan pihak berkaitan menjalankan kerja-kerja pembersihan parit yang tersumbat sebagai langkah untuk menghadapi musim banjir.

Menteri Besar Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata perbincangan bersama pihak berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran telah dibuat untuk memastikan kerja pembersihan dilaksanakan. 

“...kerana kita sedia maklum akhir tahun musim tengkujuh, jadi kena pastikan parit-parit yang tersumbat itu dikorek dan dibersihkan (untuk mengelakkan banjir),” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis sambutan Pencapaian Dua Juta Jam Tanpa Kemalangan dan Cabutan Undi Perdana bagi kerja-kerja berkala projek penyelenggaraan jalan kampung anjuran Infra Desa Johor Sdn Bhd (IDJ) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah persediaan dilakukan kerajaan negeri bagi mendepani musim banjir. 

Mengenai isu peruntukan yang disalurkan kerajaan kepada kawasan Parlimen Tanjung Piai yang dipersoal pihak pembangkang, Sahruddin berkata peruntukan sebanyak RM14.7 juta itu sebenarnya telah dipohon Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, semasa memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai dan juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Sebahagian peruntukan itu daripada arwah (usaha arwah) dan mungkin ada tambahan daripada menteri-menteri yang ada membuat lawatan ke sana.

“Memang dia (menteri) akan beri sedikit sebanyak bantuan seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atau pun Kementerian Dalam Negeri untuk tingkatkan infrastruktur di Tanjung Piai,” katanya.

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel