Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Atlet muda Orang Asli mampu harumkan nama negara


Tarikh kemaskini: 23/10/2019





KUANTAN, 22 Okt  -- Lebih ramai atlet muda dalam kalangan masyarakat Orang Asli diharap dapat menonjolkan bakat sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Pengarah Pendidikan Pahang Datuk Tajuddin Mohd Yunus berkata perkara itu tidak mustahil kerana telah terdapat beberapa atlet Orang Asli yang berjaya mencatat kejayaan ketika mewakili negara.

“Antara yang paling dikenali ialah Norashikin Mohd Sayed yang terlibat dalam sukan perahu layar di mana beliau pernah memenangi pingat perak Sukan Asia di China pada 2010, pingat emas pada Kejohanan Kapal Layar Asia di China pada 2010 dan pingat emas Sukan SEA di Singapura pada 2015,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Penutup Kejohanan Sukan Sekolah Murid Orang Asli (KSSMOA) 2019 yang turut dihadiri Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat Norashikin Shaharudin.

Kejohanan kali ke-12 yang bermula sejak Sabtu lepas itu disertai lebih 500 atlet dari tujuh negeri yang bertanding dalam tujuh acara sukan dengan negeri Pahang muncul juara keseluruhan.

Tajuddin berkata atlet Orang Asli lain yang boleh dicontohi ialah adik-beradik Zumika dan Shasha Azmi yang memenangi pingat gangsa Sukan SEA 2017 dalam sukan kriket selain Lanida Dahlan, Veronica Mahdan dan Erni Shahira, yang masing-masing memenangi pingat emas, perak dan gangsa pada kejohanan catur peringkat Asean pada 2017.

Sementara itu, Norashikin berkata Yayasan Bank Rakyat berhasrat untuk membantu mencari dan menggilap bakat atlet muda Orang Asli  menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam penganjuran kejohanan itu.

“Selain itu, penglibatan mereka dalam bidang sukan juga boleh meningkatkan kehadiran ke sekolah sekali gus mengurangkan kadar keciciran murid Orang Asli,” katanya.  

Dua atlet dari Perak, Mohamad Ary Arifin, 12, dan Ramzafida Ramdin,12, masing-masing diumum olahragawan dan olahragawati kejohanan itu. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     

Sultan Selangor berkenan hadir ke Jamuan Teh Diraja

 
     

LTTE: Permohonan ikat jamin dua ADUN, ketua pegawai perbadanan didengar Isnin

 
     

Dewan Negara: LPT2 catat 246 kes kemalangan maut dari Januari 2016-Oktober 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel