Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Operasi restoran hingga 12 tengah malam tidak sesuai, sekat rezeki - peniaga


Tarikh kemaskini: 23/10/2019





KOTA BHARU, 23 Okt -- Beberapa peniaga restoran dan kedai makan di Kelantan tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri untuk mengehadkan tempoh operasi perniagaan sehingga pukul 12 tengah malam.

Mereka menyifatkan cadangan itu yang bertujuan mengekang gejala sosial, adalah tidak sesuai selain boleh menyebabkan peniaga mengalami kerugian, menyekat punca rezeki serta turut menjejaskan pengguna.

“Peraturan ini dilihat tidak munasabah untuk dilaksanakan dengan alasan untuk mengelak berlakunya gejala sosial, sedangkan kita perlu memandang dari sudut lain,” kata Kuswadinata Mohammad, peniaga kedai makan di Kampung Pantai Mek Mas di Kuala Besar di sini, kepada Bernama. 

Kuswadinata, 57, yang telah menjalankan perniagaan kedai makan selama dua tahun berkata, cadangan itu juga akan memberi kesan terutama kepada mereka yang bekerja pada waktu malam. 

“Sesetengah individu seperti pekerja-pekerja kilang yang tamat kerja pukul 12 tengah malam baru nak mencari makan, ini akan menyusahkan mereka, tambahan pula jika mereka bujang, ianya tidak memadai untuk memasak sendiri pada lewat malam,” katanya. 

Pemilik Restoran Cahaya Bulan Seafood, Saada Che Han, 43, yang menjalankan perniagaan sehingga 2.30 pagi berkata, waktu malam dan lewat malam memberi keuntungan buatnya dan cadangan itu hanya akan menjejaskan perniagaannya.

“Ada ketika saya mampu mendapat untung berlipat kali ganda apabila menjelang waktu lewat malam, lagipun kedai saya mula beroperasi sudah lewat iaitu sekitar 4.30 petang,” katanya. 

Seorang kakitangan awam, Nabilah Pauzi, 24, berharap kerajaan negeri mengkaji semula cadangan itu jika ia benar-benar bertujuan untuk mengurangkan gejala sosial.

“Sekarang kalau dilihat, gejala sosial boleh berlaku di mana sahaja, tidak semestinya aktiviti melepak di kedai makan sahaja yang boleh mengundang berlaku perkara tidak sihat,” katanya.

Isnin lepas, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob dilapor berkata kerajaan negeri akan mengehadkan operasi kedai makan, warung, atau restoran sehingga 12 tengah malam bermula tahun hadapan bagi mengekang gejala sosial.

Ahmad berkata melalui satu kajian yang dikendalikan mendapati golongan belia sering keluar rumah untuk melepak di gerai dan kedai makan sehingga tengah malam menjadi antara punca masalah sosial.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel