Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jangan sekat rezeki kami - nelayan


Tarikh kemaskini: 23/10/2019





Oleh Nur Faradilla Mohamad

MERSING, 23 Okt (Bernama) -- "Jangan sekat rezeki kami!”

Itulah rintihan sebahagian besar nelayan yang masih turun ke laut mencari rezeki meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran.

Rintihan itu berikutan adanya segelintir nelayan yang bertindak mengambil ‘untung atas angin’ dengan menyewakan lesen mereka kepada orang luar.

Saafie Hussin atau lebih dikenali sebagai Pok Teh Awi, melahirkan rasa kesal dengan sikap pemilik bot yang mengambil jalan mudah bagi mendapatkan hasil lumayan.

Tekong berusia 65 tahun dari Kampung Mersing Kanan di sini dan berasal dari Besut, Terengganu itu, menyifatkan laut yang merupakan sumber mata pencariannya setelah lebih 40 tahun tinggal di kampung itu, sebagai rumah keduanya.

"Janganlah menyekat mata pencarian orang lain terutama nelayan yang menggunakan bubu ini semata-mata untuk cepat kaya...kasihanilah juga mereka yang ikhlas dalam sama-sama mencari rezeki," katanya kepada Bernama dalam satu temu ramah, di sini.

Pok Teh Awi, yang mempunyai tiga jenis bot Kelas B dengan 12 pekerja tempatan, bagaimanapun yakin dan percaya bahawa agensi penguatkuasaan sentiasa komited dalam menangani isu itu.

Seorang lagi nelayan Mahmud Hamzah, 58, dari Setiu, Terengganu berkata dia berharap agar mereka yang disabitkan bersalah akan dikenakan tindakan yang sewajarnya.

"Nak cari rezeki itu biarlah berkat...kita ini kadang-kadang sebulan sekali baru balik rumah demi mencari rezeki yang halal untuk menampung kehidupan sekeluarga.

"Oleh itu, elakkanlah menggunakan saluran yang salah untuk cepat kaya...sebaliknya usahalah bersungguh-sungguh untuk mendapatkan rezeki lebih," katanya yang baru merantau ke perairan Mersing kira-kira enam bulan. 

Sementara itu, Jabatan Perikanan Negeri Johor tidak akan berkompromi terhadap pemilik bot yang menyalahgunakan lesen mereka dengan memberi dan menyewakan bot kepada warga asing bagi menangkap hasil laut di perairan negeri ini.

Ketika ditanya berkenaan isu itu, Pengarah Perikanan Johor Zamani Omar berkata jabatan itu memandang serius isu berkenaan dan tindakan tegas akan dikenakan termasuk menggantung dan membatalkan lesen kepada pemilik bot yang didapati bersalah.

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diterima, pihak terbabit memilih menjalankan kegiatan ini berikutan mahu mengaut keuntungan dengan jalan pintas memandangkan tiada kos yang perlu dikeluarkan oleh pemilik lesen.

"Kita telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam mengekang isu ini termasuk melakukan proses pemeriksaan kapal secara tahunan yang bertujuan mengenal pasti keaslian sesebuah bot sama ada bot asal ataupun klon.

"Selain itu, kita sentiasa menjalin kerjasama erat dengan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bersama-sama agensi berkaitan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan negeri ini," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Setakat ini, tiada laporan yang diterima jabatan berkenaan berhubung kes terbabit.

Dalam pada itu, Zamani berkata pihaknya turut menggalakkan pengusaha tangkapan laut dalam agar menggunakan khidmat kru tempatan dalam usaha menangani kegiatan pencerobohan nelayan asing di perairan negeri itu.

"Bagaimanapun, mereka berdepan cabaran yang mana tiada kru tempatan berminat disebabkan tempoh bekerja yang terlalu lama di laut," katanya.

Pada 10 Ok lepas, APMM menahan sebuah bot nelayan tempatan tetapi dikendalikan tekong dan kru warga Vietnam di perairan Pulau Tokong Burung di Kuala Rompin, Pahang.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     

Sultan Selangor berkenan hadir ke Jamuan Teh Diraja

 
     

LTTE: Permohonan ikat jamin dua ADUN, ketua pegawai perbadanan didengar Isnin

 
     

Dewan Negara: LPT2 catat 246 kes kemalangan maut dari Januari 2016-Oktober 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel