Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Segera gubal Dasar Pengurusan Stress Negara - Cuepacs


Tarikh kemaskini: 23/10/2019





MARANG, 23 Okt -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menggubal segera Dasar Pengurusan Stress Negara bagi membela kebajikan kakitangan awam khusus dari aspek kesihatan mental.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata sejak akhir tahun lepas, Cuepacs telah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu beberapa kali bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Hasil kajian beberapa universiti serta badan bebas mendapati lebih 400,000 penjawat awam di negara ini berdepan dengan stres yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti persekitaran kerja, arahan majikan, kos kewangan atau beban kerja yang ditanggung.

"Ini akan membawa mudarat kepada sistem perkhidmatan awam itu sendiri...jadi Cuepacs berharap kerajaan segera gubal dasar itu kerana apabila wujudnya kelak, barulah kita tahu bagaimana Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) dan rakan kaunselor akan memastikan pekerja mereka dapat diberi kaunseling dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sektor Awam Peringkat Zon Pantai Timur di sini hari ini. 

Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu Mohd Zahari Hitam dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin.

Seminar tersebut disertai 250 peserta melibatkan penjawat awam dari Terengganu, Kelantan dan Pahang bertujuan memberi pendedahan mengenai kepentingan pelaksanaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.

Mengulas lanjut, Azih berkata ketika ini, penjawat awam yang berdepan tekanan perlu membuat aduan kepada kaunselor atau rakan Akrab di agensi masing-masing dan tidak boleh menyembunyikan masalah itu kerana dikhuatiri akan lebih mudarat sehingga ke tahap mendapat kad psikiatri daripada doktor perubatan.

"Manusia tidak boleh berdiam diri. Mereka perlu berkongsi masalah yang dihadapi sama ada kepada ketua di tempat kerja, rakan Akrab atau setidak-tidaknya kepada rakan sekerja agar boleh membantunya dalam pengurusan stres," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel