Pencemaran Sungai Melaka: Pendengaran awam Melcat berlangsung esok
Tarikh kemaskini: 23/10/2019

MELAKA, 23 Okt -- Jawatankuasa Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan Melaka (Melcat) akan mengadakan pendengaran awam berhubung siasatan punca pencemaran Sungai Melaka di Mahkamah Majistret Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, esok.
Pengerusi Melcat Damian Yeo Shen Li berkata pendengaran awam pertama yang dijalankan jawatankuasa itu dibuka kepada orang ramai dan pihaknya memohon orang ramai memberi kerjasama dengan menyalur maklumat kepada Melcat tentang isu pencemaran Sungai Melaka itu.
Ditanya tentang maklum balas yang diterima Melcat daripada orang ramai setakat ini, beliau berkata maklum balas orang ramai sehingga kini masih kurang memberangsangkan kerana kurangnya pengetahuan orang ramai tentang fungsi dan peranan Melcat terutama dalam urus tadbir kerajaan negeri.
"Rakyat masih tidak tahu apa peranan Melcat. Kita harap rakyat dapat terlibat dalam sesi ini kerana kita ingin tunjukkan pentadbiran bersifat telus, akauntabiliti dan berintegriti dalam proses kerja," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 15 Nov tahun lepas meluluskan usul penubuhan Melcat yang bersifat membantu mencari jalan penyelesaian kepada apa-apa permasalahan dan membantu kerajaan mengurus isu penting negeri.
Dipengerusikan Yeo (DAP-Duyong) dan Melcat dianggotai Alex Seah Shoo Chin (DAP-Kesidang); Datuk Dr Wong Fort Pin (DAP-Bemban); Datuk Gue Teck (PKR-Klebang); Datuk Roslan Ahmad (BN-Merlimau) dan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor).
Yeo berkata pendengaran awam itu dijadual berlangsung pukul 9 pagi hingga 5 petang dan orang ramai boleh mengikuti sesi pendengaran awam itu di kamar pendengaran yang boleh memuatkan kira-kira 100 orang.
Beliau berkata antara yang dipanggil memberi keterangan ialah petugas daripada Jabatan Alam Sekitar, Indah Water Konsortium, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, MBMB, Syarikat Air Melaka Berhad, Badan Kawal Selia Air Melaka dan Suruhanjaya Pengurusan Air Negara.
"Pendengaran awam ini tidak ada tujuan untuk hukum atau adili mana-mana individu atau agensi, sebaliknya semua siasatan, cadangan atau pendapat ini hasilnya diserah kepada kerajaan negeri atau ia dimasukkan sebagai salah satu risalat dalam Sidang DUN bagi diambil tindakan,” katanya.
Yeo berkata Melcat telah membuat 10 taklimat pra pendengaran mengenai isu pencemaran Sungai Melaka bagi mendapatkan keterangan individu terlibat dan dokumen berkaitan dalam tempoh siasatan tiga bulan ini.
-- BERNAMA
|