Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

87 OKU di Johor berjaya digajikan sejak Jan lepas hingga kini


Tarikh kemaskini: 23/10/2019





JOHOR BAHRU, 23 Okt – Seramai 87 Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini berjaya digajikan menerusi Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor, sejak Januari tahun ini sehingga kini.

Pengarah Tenaga Kerja Negeri Johor Zaini Yaacob berkata jumlah berkenaan termasuk 30 OKU yang berjaya ditempatkan pekerjaan di syarikat Flex, di Skudai dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, dekat sini, dua minggu lepas hasil kerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Negeri Johor.

“Saya difahamkan Flex Pulau Pinang sudah pun mengambil 120 orang pekerja OKU. Peranan dimainkan pihak Flex wajar dicontohi syarikat-syarikat gergasi lain bagi memastikan golongan OKU tidak terpinggir dari arus pembangunan negara,” katanya berucap merasmikan program ‘People With Disabilities (PwD) anjuran Flex, di sini hari ini yang turut dihadiri, Naib Presiden (Operasi) Flex, P. Viswanathan.

Zaini berkata Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor akan sentiasa bekerjasama dengan pihak Flex dan mana-mana syarikat di negeri ini dalam menggajikan OKU.

Beliau berkata Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia menerusi JobsMalaysia Centre turut menjalankan pelbagai aktiviti dan program bagi memastikan golongan OKU menikmati kemudahan disediakan kerajaan malah golongan itu diberi peluang menceburi aktiviti keusahawanan.

“Bagi negeri Johor, seramai lapan usahawan OKU diberikan geran Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU (SBGPOKU) tahun ini, di mana usahawan-usahawan ini akan menggajikan golongan OKU yang senasib dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang OKU, Ahmad Farid Zainal, 39, berkata dia bersyukur apabila diterima bekerja di Flex Skudai selepas permohonan kerjanya ditolak syarikat lain disebabkan kecacatan pendengaran dialaminya.

“Saya selesa bekerja di Flex kerana kami menggunakan sistem buddy yang membantu dari segi komunikasi dan bimbingan tugasan,” katanya yang bekerja sebagai operator pengeluaran di kilang pembuatan elektronik berkenaan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel