Rampas 116 unit penapis minyak, 69 unit minyak transmisi automatik tiruan
Tarikh kemaskini: 23/10/2019

DUNGUN, 23 Okt -- Sebanyak 116 unit penapis minyak dan 69 unit minyak transmisi automatik tiruan jenama Proton dirampas oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Dungun di dua premis berasingan di daerah ini, semalam.
Ketua cawangannya, Muhammad Khairuddin Ali @ Abdul Aziz, berkata, operasi yang dijalankan bersama wakil pemilik cap dagangan berdaftar telah berjaya merampas alat tiruan tersebut dianggarkan bernilai RM2,885.
Dalam pemeriksaan pertama di sebuah kedai di Jalan Utama Dungun di sini, kami merampas 55 unit alat penapis minyak dan 69 unit minyak transmisi automatik bernilai RM2,275 dan 61 penapis minyak bernilai RM610 di premis kedua di Kilometer 50, Jalan Paka, di sini, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, kedua-dua premis tersebut disyaki melakukan kesalahan kerana menggunakan perihal dagangan palsu bagi cap dagangan berdaftar iaitu Proton pada alat ganti kenderaan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8(1)(c) Akta Perihal Dagangan 2011.
Menurutnya, jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM15,000 untuk pertubuhan atau syarikat bagi setiap satu barang.
-- BERNAMA
|