Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

SPR jual enam borang pencalonan PRK Tg Piai


Tarikh kemaskini: 24/10/2019





PONTIAN, 24 Okt -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menjual enam borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai setakat ini. 

Timbalan Pengarah SPR negeri Mohammad Zaidad Abdul Samat berkata enam borang itu dijual dari 8 Oktober hingga semalam. 

Beliau berkata mereka yang membeli borang-borang itu ialah dari parti-parti utama, namun belum ada yang membayar deposit untuk pilihan raya atau pun bahan kempen.

“Pembelian borang pencalonan ini masih boleh dibuat sehinggalah pada hari pencalonan pada 2 November pukul 10 pagi,” kata beliau kepada pemberita selepas meninjau sesi taklimat petugas PRK di Dewan Jubli Intan di sini, hari ini. 

Katanya mana-mana pihak yang ingin bertanding juga diberi ruang untuk membuat semakan mengenai kelayakan mereka bermula 28 hingga 30 Oktober ini bagi memastikan mereka menepati syarat menjadi seorang calon.

Katanya semakan itu dibuat dengan hadir ke pejabat pegawai pengurus pilihan raya berdekatan.

Mengenai persiapan SPR dalam menghadapi musim banjir terutama dari segi penyediaan bot untuk mengangkut peti-peti undi, Mohammad Zaidad berkata pihaknya tidak risau tentang perkara itu kerana pengawai pengurus bagi PRK Tanjung Piai ialah pegawai daerah Pontian yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah.

“Jadi kami tidak risau kerana persediaan itu sememangnya berada dalam kawalan beliau,” katanya. 

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Sementara itu merujuk kepada taklimat hari ini, Mohammad Zaidad berkata ia adalah taklimat ketiga diadakan bagi memberi penerangan mengenai tanggungawab para petugas, antaranya mengenai pengurusan kehadiran jurugambar dengan memakai pas khas pilihan raya serta untuk memastikan mereka berada dalam tempat dibenarkan.

“Hari ini adalah taklimat untuk 27 Penyelia Pusat Mengundi (PPM) dan juga 278 pembantu-pembantunya yang dalam kalangan Pemandu Arah Pusat Mengundi (PAPM) dan Kerani Pengundian Daftar Pemilih (KPDP).

"Ia adalah kesinambungan siri pertama dan kedua yang telah diadakan sebelum ini. Kita pecahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil kerana hendak pastikan taklimat diberi secara optimum,” katanya. 

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai agar menyemak maklumat lokaliti, tempat daerah mengundi, lokasi Dewan Undangan Negeri dan pusat mengundi/saluran secara dalam talian menerusi aplikasi MySPR Daftar. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel