Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pusat Ikan Hiasan sasar 100,000 pengunjung tahun ini


Tarikh kemaskini: 24/10/2019





PORT DICKSON, 24 Okt -- Pusat Ikan Hiasan Port Dickson (PIHPD) mencatatkan kehadiran seramai 82,810 orang pengunjung termasuk pelancong asing bagi tempoh dari Januari sehingga September lepas.

Ketua PIHPD Nawar A. Karim berkata daripada jumlah itu, bagi bulan Januari, pihaknya merekodkan kehadiran 5,134 orang pengunjung, Februari (4,635), Mac (10,774), April (9,908), Mei (7,964), Jun (5,901), Julai (9,028), Ogos (10,037) dan Sept (19,429).

"Pada tahun lepas, pusat itu menerima 86,421 orang pengunjung manakala seramai 85,377 orang pengunjung pada tahun 2017. Untuk tahun ini, kita menyasarkan seramai 100,000 orang pengunjung mengunjungi pusat ini.

“Ini sudah tentunya pada tiga bulan terakhir iaitu Oktober hingga Disember berikutan cuti penggal persekolahan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini..

Beliau berkata untuk mencapai sasaran itu, pelbagai pendekatan dan promosi antaranya mengadakan aktiviti melepaskan anak penyu hijau atau juga dikenali sebagai penyu agar dan juga penyu karah ke laut, dan ia boleh disertai pengunjung.

Nawar berkata PIHPD yang berada di bawah seliaan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan dan terletak di Teluk Kemang di sini turut mempamerkan pelbagai spesies ikan hiasan marin, teknologi kultur dan propagasi karang dan merupakan antara satu daripada destinasi pilihan pelancong ke Port Dickson.

Pusat ini yang dibuka pada orang ramai sejak 2017 katanya juga berfungsi bagi menggalakkan pembangunan industri ikan hiasan terutamanya ikan hiasan marin, kuda laut dan terumbu karang yang kini dilihat sebagai satu bidang kekayaan baharu di negara ini, katanya.

Selain menjadi pusat rujukan dalam industri ikan hiasan marin melalui penyelidikan dan pembangunan, PIHPD juga katanya turut melaksanakan aktiviti pemuliharaan sumber perikanan marin bagi memastikan khazanah hidupan laut terus terpelihara.

Selain melakukan penyelidikan dan pembangunan ikan hiasan, PIHPD katanya turut menyediakan kursus kepada usahawan yang berminat menceburi bidang industri ikan hiasan marin.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel