Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jumlah mangsa banjir di Perak semakin berkurangan tengah hari ini


Tarikh kemaskini: 24/10/2019





IPOH, 24 Okt -- Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak semakin berkurangan kepada 187 mangsa daripada 46 keluarga tengah hari ini berbanding 308 mangsa daripada 79 keluarga pagi tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 12.15 tengah hari ini, dua PPS masih lagi dibuka iaitu di daerah Hilir Perak dan Kerian.

Di Hilir Perak, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, Teluk Intan yang dibuka sejak Sabtu lepas menunjukkan penurunan, iaitu seramai 104 mangsa daripada 26 keluarga tengah hari ini berbanding 231 mangsa membabitkan 61 keluarga pagi tadi.

"Bagaimanapun di Kerian, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak di Selama pula, meningkat sedikit iaitu 83 mangsa daripada 20 keluarga tengah hari ini berbanding 77 orang daripada 18 keluarga pagi tadi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu di PULAU PINANG, hanya sebuah PPS masih beroperasi di Bukit Mertajam iaitu Tadika Kemas Kampung Manggis, yang menempatkan 31 orang termasuk dua bayi perempuan  daripada lapan keluarga, manakala PPS Dewan Orang Ramai  Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tok Suboh telah ditutup pukul 1.00 tengah hari tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata seramai 73 orang daripada 25 keluarga yang ditempatkan di situ telah kembali ke rumah masing-masing sejak pagi ini.

Tinjuan Bernama mendapati penduduk yang terjejas banjir telah mula membersihkan kediaman mereka hari ini.

Seorang penduduk, Mohd Noor Jusoh, 50, berkata beliau sekeluarga balik ke rumah pada pukul 10 pagi tadi selepas dimaklumkan air banjir di kawasan mereka telah surut.

"Alhamdulilah selepas tiga hari di pusat pemindahan, hari ini dapat balik ke rumah dan banya benda nak kena buat serta bersihkan.. ruang tamu rumah penuh selut dan sampah manakala ada juga barangan elektrik yang rosak," kata pekerja sebuah syarikat swasta itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel