Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan Kedah tawar insentif untuk pelabur utama projek 'Rubber City'


Tarikh kemaskini: 24/10/2019





ALOR SETAR, 24 Okt  -- Kerajaan Kedah bersetuju menawarkan insentif khas kepada mana-mana pihak yang menjadi pelabur pertama projek ‘Kedah Rubber City’ di Padang Terap, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Mukhriz berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi mengenal pasti insentif yang bersesuaian untuk tujuan itu.

“Kalau kita ada pelabur pertama biasanya (syarikat pelabur) yang besar, ia akan dapat menarik lebih banyak pelabur lain,” katanya pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa semua pihak tidak perlu bimbang dengan pelabur-pelabur dari China memandangkan negara itu kini merupakan rakan dagang terbesar negara mengatasi Amerika Syarikat, Singapura dan Jepun.

“Saya faham sebenarnya kita di Malaysia daripada zaman Tanah Melayu lagi mempunyai pengalaman sejarah tidak berapa baik dengan China kerana mereka sokong komunis dulu, tapi hubungan kita dengan China sejak Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein (Perdana Menteri kedua) lagi sudah baik dan makin baik.

“Sekarang ini kita mempunyai hubungan ekonomi yang rapat sebagai rakan dagang dan biasanya apa yang menyusuli perdagangan adalah pelaburan,” katanya.

Mukhriz berkata, pelaburan dari China mampu menambah nilai dan menyumbang kepada ekonomi setempat dengan penawaran peluang pekerjaan dan tiada sebarang proses indoktrinasi terhadap tenaga kerja tempatan yang bekerja di kilang-kilang mereka yang dilaporkan setakat ini.

Sementara itu beliau berkata pihaknya masih belum boleh mendedahkan identiti syarikat dari China yang akan melabur di sebidang tanah seluas 242.8 hektar di Bukit Kayu Hitam.

“Buat masa ini tak dapat umum lagi kerana ada isu perjanjian yang tidak boleh didedahkan, tapi selepas semuanya dimuktamadkan, maka kerajaan negeri akan mengumumkan,” katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz memberitahu pihaknya optimis mampu mencapai sasaran hasil negeri yang ditetapkan bagi 2019 iaitu sebanyak RM710 juta yang mana sehingga 22 Oktober lepas, jumlah hasil dilaporkan sudah mencapai RM498.41 juta (70.2 peratus).

“Kita sudah tidak jauh untuk mencapai atau melebihi sasaran (hasil) dan saya yakin dalam tempoh dua bulan lagi sehingga akhir tahun ini, kita akan melepasi angka yang telah dicapai pada 2018 (RM559.12 juta),” katanya.  

Sidang dewan ditangguhkan hari ini kepada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel