Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KDN rampas 13 naskhah komik propaganda di Muzium Komik di Komtar


Tarikh kemaskini: 24/10/2019





GEORGE TOWN, 24 Okt -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menyerbu dan membuat pemeriksaan di Muzium Kebudayaan Komik di Komtar, di sini serta merampas 13 naskhah komik kontroversi  ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’  versi bahasa Cina.

Difahamkan serbuan itu dilakukan oleh sepasukan lima anggota penguat kuasa KDN pada jam 11 pagi dan pemeriksaan dijalankan  selama sejam sebelum menemukan 13 naskah komik itu dipamerkan di muzium berkenaan.

Sumber berkata rampasan komik itu berikutan keputusan KDN semalam untuk mewartakan perintah larangan terhadap komik terbabit termasuk dalam versi bahasa Inggeris dan Cina kerana cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme selain menyebarkan fakta salah serta mengelirukan.

Sementara itu, seorang pekerja wanita di muzium tersebut, yang enggan namanya didedahkan, berkata mereka tidak dimaklumkan oleh pihak pengurusan muzium berhubung larangan terhadap komik berkenaan.

"Pihak pengurusan juga tidak memberikan sebarang arahan untuk tidak mempamerkan komik itu atau menutup operasi muzium, setakat ini kami beroperasi seperti biasa iaitu bermula jam 11 pagi hingga 7 malam," katanya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika bercakap dengan pemberita di lobi Parlimen hari ini, berkata  KDN mempunyai asas kukuh mengharamkan komik itu kerana boleh memudaratkan ketenteraman serta keselamatan awam.

Beliau menegaskan keputusan mewartakan larangan terhadap komik berkenaan bukan berdasarkan kepada sentimen atau politik.

Menurutnya, KDN akan melakukan tindakan susulan dan merampas komik berkenaan jika masih dalam edaran di pasaran.

Sesiapa yang melanggar perintah larangan itu dengan mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, menawarkan untuk menjual atau memiliki komik terbabit boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel