Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

138 Pusat Komuniti Harapan Malaysia diwujudkan di Johor


Tarikh kemaskini: 25/10/2019





PONTIAN, 25 Okt -- Sebanyak 138 Pusat Komuniti Harapan Malaysia (KHM) sudah diwujudkan di seluruh Johor setakat ini, dengan 10 daripadanya di daerah Pontian.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata kesemua 138 pusat tersebut merupakan sebahagian daripada 1,236 KHM yang sudah diwujudkan seluruh negara.

"Saya yakin KHM dapat memikul tanggungjawab untuk memasarkan, meningkatkan kefahaman dan penghayatan masyarakat setempat terhadap dasar-dasar kerajaan di samping memperkasakan jaringan komunikasi dan kerjasama antara rakyat pelbagai kaum," katanya berucap pada program Sepakat@ Komuniti Peringkat Negeri Johor di Kampung Haji Ashari, Kukup, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Malaysia Datuk Mohd Sukari Ab Hamid, Speaker Dewan Undangan Negeri Johor Suhaizan Kaiat dan Ketua Kampung Haji Ashari Shifhuddin Said.

Eddin Syazlee berkata menerusi KHM yang diwujudkan Jabatan Penerangan Malaysia itu, peranan masyarakat amat diperlukan bagi membantu kerajaan sebagai rakan strategik untuk menyampaikan maklumat dan dasar-dasar kerajaan dalam kalangan rakyat. 

Sementara itu, dalam ucapan sama, beliau turut memaklumkan RM21.6 bilion diperuntukkan kerajaan bagi menyediakan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara, sebagai persiapan berdepan cabaran global dalam ekonomi digital. 

"Ekonomi digital merubah landskap ekonomi dunia dengan memberikan peluang baharu kepada semua untuk menggunakan internet tanpa mengira lokasi, tahap sosioekonomi, kaum, umur, jantina dan sebagainya.

"Dengan adanya kesalinghubungan digital yang meluas, rakyat akan dapat merasai perubahan ke arah Kemakmuran Bersama dengan lebih menyeluruh," katanya.

Mengenai program Sepakat@Komuniti Peringkat Negeri Johor itu, Eddin Syazlee berkata beliau percaya ia bukan sahaja menjadi medium untuk kerajaan memberi penerangan secara bersemuka mengenai isu-isu semasa, malah turut dilihat sebagai medium memupuk semangat perpaduan. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel