Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Isu peralihan kuasa Dr Mahathir, Anwar Ibrahim harus dibincang secara dalaman PH - Muhyiddin


Tarikh kemaskini: 25/10/2019





PONTIAN, 25 Okt  -- Isu peralihan kuasa antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terperinci seharusnya dibincangkan secara muafakat dalaman antara pemimpin Pakatan Harapan (PH), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata memang soal peralihan kuasa disebut ketika perjanjian awal antara empat pemimpin melibatkan beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (ketika itu Presiden PKR), Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu (Presiden Amanah).

“Saya tak ingat.. Waktu kita nak bincang dulu siapa nak jadi Perdana Menteri (PM), siapa yang kita nak tonjolkan kepada calon, jadi kita kata Dr Mahathirlah… mula-mula ada juga yang tak berapa setuju tetapi akhirnya, ada persefahaman, OK Tun (Dr Mahathir) ditonjolkan sebagai PM sekiranya PH menang  (Pilihanraya Umum).

“Perkara ini adalah sesuatu yang semua pemimpin duduk berunding dan cari kata sepakat… tak usah bergaduh,” kata beliau kepada pemberita di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini, petang ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya mengenai peralihan kuasa antara dua pemimpin itu dan sama ada, ada disebut tempoh peralihan ketika perjanjian awal antara empat pemimpin PH itu.

Ketika ditanya sama ada peralihan kuasa akan berlaku, beliau berkata: “Saya rasa kita tidak boleh mengelak peralihan kuasa ..jadi saya kata, biar perkara itu diteliti oleh pemimpin PH ..elok berbincang..Tun Dr Mahathir adalah pemimpin utama.. Kita tunggu..

Jelas beliau, apa yang lebih penting ialah bagi pemimpin PH menumpukan kepada soal membangunkan negara.

“Yang penting tumpukan pada soal pembangunan negara supaya PH sebagai sebuah kerajaan dilihat berkesan. Banyak perkara yang belum selesai. Saya fikir PM memang beri fokus soal itu supaya ekonomi pulih, rakyat rasa lebih baik, ini yang utama,” kata beliau.

Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu berkata soal peralihan kuasa itu ditimbulkan oleh sesetengah pihak yang mahu menimbulkan ketidaktentuan, ketidakstabilan dalam PH.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri menghadiri majlis ramah mesra antara warga kementerian dalam negeri (KDN) di IPD Pontian.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel