Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KDN tidak terima permohonan rasmi kaji semula pengharaman komik kontroversi


Tarikh kemaskini: 25/10/2019





PONTIAN, 25 Okt  -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menerima sebarang permohonan rasmi dari mana-mana pihak untuk mengkaji semula larangan penerbitan komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama” setakat ini.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihaknya perlu menyemak dan meneliti dari segi undang-undang sama ada, ada ruang untuk rayuan.

“Bagaimanapun kita bersikap terbuka pasal tujuan kita ialah untuk menentukan apa yang dinamakan tadi.. apa-apa bentuk idelogi dan sebagainya tidak mempengaruhi penduduk negara kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama semua agensi dan jabatan di bawah KDN di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, di sini, hari ini.

“Apapun kalau pihak pemimpin mana sekalipun berhajat untuk membuat rayuan dan sebagainya atau pihak pengarang sendiri nak buat, saya tidak ada halangan untuk mendengar tapi dengan syarat ada asas-asas yang kukuh apa dan mengapa perkara itu (komik) hendak diteliti semula,” tambah Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai mengulas gesaan beberapa pihak supaya mengkaji semula pengharaman komik kontroversi itu.

Beliau berkata apa yang penting di pihak KDN, adalah dari segi keselamatan dan ketenteraman awam.

Sehingga semalam, 1,250 buah komik itu dirampas oleh KDNn dab semalam, Penasihat DAP Lim Kit Siang menggesa KDN mengkaji semula keputusan mengharamkan komik berkenaan, yang diumumkan pada hari Rabu lepas.

Pada 23 Okt lepas, KDN mewartakan perintah larangan tiga penerbitan bertajuk ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ serta versi bahasa Inggeris dan Cina melalui Warta Kerajaan P.U. (A)288/2019 mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Sementera itu dalam perkembangan lain Muhyiddin berkata Pelan Holistik Penguatkuasaan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), yang merupakan satu pelan jangka masa panjang lima tahun bagi mengatasi isu pendatang asing, diharapkan dapat dilaksanakan tahun hadapan.

Beliau berkata pelan itu kini dalam proses untuk disiapkan oleh satu jawatankuasa khas dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini, dan apabila dilaksanakan pelan itu turut akan memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan Majlis Pengurusan Komunit Kampung (MPKK).

Menurutnya pelan itu akan melihat pelbagai aspek termasuk dari segi undang-undang, penguatkuasaan, prosedur operasi standard (SOP) dalam menguruskan pendatang asing selain melihat aset-aset yang boleh membantu dari segi penguatkuasaan dan pengurusan.

“Kita juga kena tengok pusat-pusat tahanan dari segi kapasiti, pengurusan dan sebagainya. Memang setakat hari ini, (pusat tahanan) tidak mencukupi..ada 18 pusat tahanan yang hanya boleh menampung hingga 10,000 ke 12,000 pendatang asing

 -- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Ops Catut PSP: KPDNHEP Sabah hantar notis pengesahan kepada 15 kilang

 
     

Dua buah PPS dibuka di Kuching setakat 8.00 malam

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel