Sudah tiba masanya Sarawak bina rangkaian jalan keselamatan di sepanjang sempadan Kalimantan - Masing
Tarikh kemaskini: 25/10/2019

KUCHING, 25 Okt -- Susulan pengumuman pemindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan, adalah kena pada masanya bagi Sarawak membina rangkaian jalan keselamatan di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing.
Beliau berkata rangkaian jalan keselamatan itu akan bermula dari Biawak ke Serikin dan Engkilili melalui Lubok Antu, Long Silat, Long Banga, Bario, Ba’Kelalan, Long Semado, Long Sukang dan berakhir di bandar Lawas.
Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata rangkaian jalan sempadan itu adalah penting dalam menyediakan kesalinghubungan dan akses antarabangsa.
"Ia juga akan membantu melindungi wilayah kita serta melindungi aset berbilion ringgit, terutama Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) dan empat empangan kuasa hidro (elektrik) (HEP) yang terletak berdekatan sempadan antarabangsa kita, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Masing berkata kajian mendalam mengenai rangkaian jalan sempadan yang dicadangkan akan dilaksanakan dengan keutamaan diberikan kepada empat bahagian iaitu bahagian Baleh dan jalan susur, bahagian Engkilili, Lubok Antu dan Batang Ai, menaik taraf jalan susur Tebedu R5 dan jalan susur Baram dan jalan susur Tinjar.
Program rangkaian jalan keselamatan sempadan berharap untuk tidak hanya menyediakan kesalinghubungan ke kawasan tanah tinggi di sepanjang sempadan Sarawak dan Kalimantan tetapi juga untuk membolehkan akses ke taman negara kita dansantuari hidupan liar yang dialami para peminat alam semulajadi," katanya.
Kos keseluruhan program itu dianggarkan RM24 bilion dengan pelaksanaan dari 2020 hingga 2030 dan seterusnya.
-- BERNAMA
|