Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Cubaan sembunyi PATI di bawah tempat duduk kereta gagal


Tarikh kemaskini: 25/10/2019





PADANG BESAR, 25 Okt -- Taktik seorang tekong darat yang cuba menyeludup tiga lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan menyembunyikan mereka di bawah tempat duduk penumpang dan but kereta berjaya dipatahkan, hasil pemeriksaaan yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis di pintu sempadan Padang Besar-Thailand pukul 6.45 pagi tadi.

Pengarahnya Basri Othman berkata ketiga-tiga warga Myanmar berusia lingkungan 19 hingga 47 tahun itu dipercayai telah mengupah sindiket berkenaan bagi membawa mereka keluar dari negara ini untuk pulang ke negara asal menerusi Thailand.

"Semasa pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Proton Wira yang melalui Kompleks Imigresen Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) ingin dilakukan, seorang lelaki warga tempatan telah turun dan berpura-pura ingin membuka but kereta setelah diminta berbuat demikian oleh pegawai bertugas.

"Bagaimanapun secara tiba-tiba lelaki  berusia dalam lingkungan 40 telah bertindak melarikan diri ke sempadan Thailand tanpa sempat diambil tindakan,” katanya pada sidang media di  di ICQS di sini, hari ini.

Siasatan awal mendapati ketiga-tiga warga asing itu bekerja di sebuah kebun di Balik Pulau sejak lebih setahun lalu masuk ke negara ini dan hanya mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dipercayai palsu selain salah satu daripadanya telah tamat tempoh.

Mereka dilaporkan membayar RM100 untuk mendapatkan PLKS itu daripada seorang lelaki senegara yang telah pulang ke negara asal, selain membayar RM1,100  lagi kepada sindiket untuk dibawa keluar ke Thailand melalui laluan sah.

“Suspek memaklumkan mereka memulakan perjalanan dari Pulau Pinang untuk ke Changlun, Kedah menaiki kenderaan lain sebelum dipaksa bersembunyi di bawah tempat duduk penumpang di bahagian belakang kereta Proton Wira berkenaan sebelum ditahan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(c) dan Seksyen 56 (1)(l) Akta Imegresen 1999/63 atas kesalahan tinggal dalam negara ini melebihi had tempoh dan memiliki PLKS palsu. 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel