Indonesia gesa pelabur Malaysia buat bidaan bagi pembinaan lapangan terbang baharu
Tarikh kemaskini: 25/10/2019
KUCHING, 25 Okt -- Kerajaan Indonesia menggesa pelabur Malaysia yang berminat untuk mengambil bahagian dalam proses bidaan membina lapangan terbang antarabangsa yang baharu di Singkawang, Kalimantan Barat, Indonesia.
Sekretaris Daerah Kota Singkawang, Sumastro berkata, tender untuk projek itu dijangka dibuka tahun depan.
“Mereka boleh bangunkan dari segi fizikal infrastruktur, landasan, peralatan teknikal, dan kita akan hitungkan ratenya. Projek ini sudah kita mulakan untuk land clearing, nanti untuk pembinaan infrastrukturnya kita akan buka tender.
“Sekarang sedang siapkan softline business case dan final business case, setelah semua selesai, dua dokumen itu kita finalkan, then kita akan open bidding,” kata beliau kepada Bernama selepas mengetuai delegasi dalam sesi mesyuarat dengan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, di sini, hari ini.
Tawaran itu disyuarakan oleh delegasinya dalam mesyuarat tersebut yang juga disertai oleh delegasi dari Kabupaten Sambas.
Sumastro berkata, kerajaan setakat ini telah menerima Surat Kepentingan daripada 40 syarikat termasuk beberapa syarikat Malaysia.
Beliau berkata lapangan terbang yang dicadangkan itu dijangka siap pada 2023 akan menjadi lapangan terbang antarabangsa kedua di Kalimatan, Indonesia, dengan menyatakan bahawa projek di bawah skim perkongsian awam-swasta memerlukan pelaburan sebanyak USD4.3 trilion, yang meliputi Rp1.7 trilion untuk perbelanjaan modal dan IDR 2.6 trilion untuk kos operasi.
“Selepas ini juga kita akan lihat, projek-projek lain untuk ditawarkan kepada syarikat di Malaysia. Kawasan lapangan terbang baharu itu nanti boleh juga dibangunkan dengan projek perumahan, padang golf dan macam-macam lagi,” katanya.
Sementara itu, Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli (II) Sarawak berkata kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang tawaran kerjasama oleh kerajaan Indonesia, apa lagi dengan pemindahan ula ibu kota Indonesia ke Kalimantan yang akan membuka lebih banyak peluang perdagangan.
“Ini bukan sahaja akan beri impak dari segi sosio-ekonomi, tetapi banyak lagi, dan kita mahu bekerjasama sebab kita ini bersempadanan dan kita dari rumpun sama selain masing-masing adalah daripada satu komuniti ASEAN.
-- BERNAMA
|