Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Warga emas mati tertimbus dalam tanah runtuh dekat Batu Kurau


Tarikh kemaskini: 26/10/2019





SELAMA, 25 Okt  -- Seorang lelaki warga emas dijumpai mati tertimbus selepas rumahnya di Kampung Teras, Ijok, dekat Baru Kurau dihempap tanah runtuh dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang tadi. 

Menurut Ketua Polis Daerah Selama, DSP Mohd Sabri Saad, mayat Hanudin Bahazim, 60, ditemui tertimbus di bahagian dapur oleh pasukan mencari dan menyelamat pukul 10.31 malam ini. 

"Tanah runtuh itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat," katanya ketika dihubungi di sini, malam ini. 

Sementara itu, isteri mangsa Milah Che Pi, 51, berkata semasa kejadian suaminya sedang tidur di bahagian  dapur rumah mereka. 

"Masa itu saya sedang sembahyang sebelum dengar bunyi kuat di bahagian dapur. Runtuhan itu berlaku dengan pantas," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamahri memaklumkan, hujan lebat turut mengakibatkan sebahagian Jalan Rantau Panjang-Lata Tebing Tinggi runtuh. 

Katanya jalan yang runtuh adalah sepanjang 200 meter dan kini ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan. 

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan negeri mengambil maklum berhubung kejadian tanah runtuh yang telah menjejaskan tiga buah rumah di kampung berkenaan. 

"Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pegawai dan anggota penyelamat serta jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang telah terlibat dalam misi mencari dan menyelamat selain membantu semua mangsa di lokasi,” katanya.

Difahamkan kira-kira 82 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi itu terdiri daripada bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta pasukan perubatan Kementerian Kesihatan. 

-- BERNAMA 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel