kZcoU-NpPcM Bot karam: PPM, APM teruskan SAR cari tujuh mangsa hilang
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bot karam: PPM, APM teruskan SAR cari tujuh mangsa hilang


Tarikh kemaskini: 26/10/2019





LAHAD DATU, 26 Okt -- Pasukan Polis Marin (PPM) hari ini meneruskan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) tujuh individu termasuk dua kanak-kanak yang hilang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki karam di perairan Merabung, Tungku dekat sini, Khamis lepas.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata tiga bot peronda dengan 21 anggota dan pegawai PPM Lahad Datu dikerah ke lokasi SAR sejak 6 pagi tadi.

"SAR meliputi kawasan perairan Merabung hingga Felda Sahabat 16 dan Pulau Adal, Pulau Tabawan hingga perairan Silam.

"Operasi akan dijalankan sehingga 6 petang ini," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, jurucakap Agensi Penguatkuasaan Malaysia (APM) berkata seramai 10 anggotanya terlibat SAR pada 7 pagi tadi bagi mencari mangsa yang masih hilang.

Menurutnya, dua bot milik APM turut serta dalam pencarian mangsa di laut manakala empat kenderaan bersedia menunggu di pesisir pantai.

Menurut jurucakap berkenaan, pihaknya melaksanakan pencarian dari pantai Parapat sehingga ke perairan Bangingod dan kini berada di Felda Sahabat 16.

Semalam dilaporkan, seorang lelaki selamat manakala seorang wanita ditemui terapung dan tujuh lagi masih hilang selepas bot dinaiki karam.

Menurut laporan polis, mangsa yang terselamat merupakan warga asing berusia 29 tahun ditemui pada Khamis lepas oleh juragan kapal nelayan sebelum kejadian itu dilapor ke bilik gerakan PPM pada 3.05 petang. Mangsa itu kini ditahan polis selama 14 hari untuk siasatan lanjut.

Semalam, mayat seorang wanita ditemui terapung oleh orang awam yang menghubungi Balai Polis Cenderawasih pada 9 pagi.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel