Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Cadangan bina jalan raya berasaskan getah di Kadamaian akan diteliti - Ewon


Tarikh kemaskini: 26/10/2019





KOTA KINABALU, 26 Okt-- Kerajaan negeri kini sedang mengumpul maklumat sebelum melaksanakan cadangan projek rintis pembinaan jalan raya menggunakan adunan bitumen getah sejauh dua kilometer di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah perlu terlebih dahulu meneliti laporan teknikal dan maklumat terperinci mengenai projek itu yang dilaksanakan di Semenanjung dari Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) sebelum meneruskan projek itu di negeri ini.

“Cadangan untuk melaksanakan projek rintis ini sudah dipersetujui secara prinsip, tetapi pihak JKR Sabah memerlukan maklumat terperinci dari KKR dan LGM,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ewon berkata baru-baru ini, beliau bersama rombongan lain termasuk JKR Sabah, Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah, Lembaga Industri Getah Sabah serta Pejabat Daerah Kota Belud telah mengadakan lawatan ke Kuala Lumpur untuk berbincang lebih lanjut mengenai perkara itu bersama KKR dan LGM, selain mereka turut dibawa melihat lebuh raya berturap menggunakan teknologi itu serta kilang-kilang pembekal.

Menurutnya, pada tahun ini, kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk membina jalan raya menggunakan teknologi berasaskan getah di seluruh Malaysia dan beliau selaku ahli DUN Kadamaian akan berusaha mendapatkan peruntukan itu bagi membolehkan cadangan projek rintis di kawasannya direalisasikan.

Bagaimanapun, Ewon turut melihat kemungkinan lokasi projek rintis pembinaan jalan raya berasaskan teknologi getah itu akan berubah memandangkan JKR Sabah berpendapat kaedah tersebut lebih sesuai dilaksanakan untuk menurap semula jalan raya sedia ada yang rosak dan bukannya membina jalan raya baharu.

Beliau berharap projek rintis berkenaan dapat diteruskan dalam usaha mewujudkan permintaan kepada bahan mentah asli getah seterusnya meningkatkan harga getah di Sabah.

--  BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel