Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan Kedah tumpu bangun semula Taman Industri Halal - Mukhriz


Tarikh kemaskini: 26/10/2019





SUNGAI PETANI, 26 Okt -- Kerajaan Kedah akan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan semula Taman Industri Halal atau Kedah Halal Park di sini, bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya maju dalam penghasilan produk halal.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata kerajaan negeri akan mempergiatkan promosi bagi menarik lebih ramai usahawan untuk beroperasi di taman itu, selain akan menaiktaraf kemudahan bagi membantu mereka memenuhi piawaian industri halal.

"Sebelum ini kita ada Taman Indistri Halal, tapi dia macam ‘hidup segan mati tak mahu’, jadi kita nak kena perincikan dan kumpul maklumat semula apakah yang perlu dilakukan supaya taman itu mempunyai semua kemudahan dan kenal pasti apakah jenis pengeluaran yang bersesuaian dijalankan di situ,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kedah Halal Fest 2019 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut meminta lebih ramai usahawan yang berkecimpung dalam industri halal untuk mendaftar dengan Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (UPUK) bagi membolehkan pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan dapat disalurkan.

Katanya, menerusi Bajet Negeri Kedah 2020, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada UPUK bagi melaksanakan program-program pembangunan untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan usahawan agar mereka lebih berdaya saing.

"Bila kita tak ada data atau maklumat, jadi kita nak bantu macam mana... Nak bagi kat siapa dan tujuan apa, jadi susah kita nak buat sebab kita perlukan maklumat itu, jadi penting untuk kita galakkan usahawan ini mendaftar UPUK.

“Walaupun ada yang sudah berjaya dan tak perlukan bantuan, namun, maklumat mengenai usahawan ini penting untuk kita mengetahui mengenai usahawan kita, di samping memudahkan kerajaan negeri menyalurkan bantuan kepada mereka," katanya.

Sementara itu mengenai Kedah Halal Fest 2019, sebanyak 138 usahawan dan agensi terbabit mempamerkan barangan atau produk halal masing-masing selama empat hari bermula 24 Okt lalu.

Difahamkan eksport produk halal Malaysia pada tahun lepas mencecah sebanyak RM40 bilion dengan pengimport terbesar ialah Singapura (RM4.6 bilion), China (RM4.5 bilion), Jepun (RM2.5 bilion) Amerika Syarikat  (RM2.4 bilion) dan Indonesia (RM1.9 bilion).

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel