Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Semua jajahan di Kelantan berisiko banjir - polis


Tarikh kemaskini: 28/10/2019





JELI, 28 Okt -- Kesemua 10 jajahan di Kelantan berisiko dilanda banjir, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Beliau berkata justeru, polis mengambil langkah berjaga-jaga sejak Julai lepas dengan mengadakan pelbagai latihan termasuklah menyelamat dan pengendalian logistik.

"Tiada kawasan khusus (dilanda banjir). Semua kawasan di negeri ini harus dianggap berisiko banjir dan semua anggota perlu bersedia dari aspek mental dan fizikal.

“Justeru, cuti kira-kira 3,000 pegawai dan anggota akan dibekukan (jika perlu),” katanya pada sidang akhbar berkaitan rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan negeri-negeri di Pantai Timur dijangka mengalami empat hingga enam episod hujan lebat bermula awal November hingga Januari depan berikutan kedatangan Monsun Timur Laut yang sering mengakibatkan banjir.

Beliau turut meminta masyarakat melakukan persiapan awal untuk berpindah bagi mengelak kesukaran agensi keselamatan memberikan bantuan.

"Begitu juga warga emas yang tinggal seorang diri, seboleh-bolehnya berpindah ke rumah ahli keluarga yang lain bagi mengelak kejadian yang tidak diingini daripada berlaku,” katanya.

Sementara itu, Hasanuddin berkata pihaknya menahan seorang peniaga habuk kayu berusia 47 tahun bersama 1,800 biji pil yaba bernilai RM18,090 dalam satu serbuan di Kampung Batu Melintang, Jeli pada pukul 3 pagi semalam.

"Kesemua pil itu disembunyikan di dalam sebuah kereta yang berada di kawasan rumah terbabit dan siasatan awal mendapati pil berkenaan diperoleh dari Tanah Merah untuk diedarkan di sekitar Jeli.

"Suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan positif Methamphetamine direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 3 Nov depan untuk disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel